Op Patuh Bersepadu kesan pemuda pandu bas bawa 40 penumpang tanpa lesen - Utusan Malaysia

Op Patuh Bersepadu kesan pemuda pandu bas bawa 40 penumpang tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah bas persiaran membawa 40 penumpang dipandu pemuda yang hanya memiliki lesen motosikal dalam Op Patuh Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal di sini malam tadi.

Lelaki berusia 22 tahun memberi alasan dia mengambil alih tugas abangnya membawa warga asing yang bekerja sebagai kontraktor   dari Serdang menuju ke asrama di Kajang.

Tindakan lelaki berkenaan memandu bas tanpa lesen menyebabkan bas persiaran terbabit disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 5,223 kenderaan diperiksa dalam operasi bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 281 kenderaan diambil tindakan dengan 531 notis atas pelbagai kesalahan serta empat kenderaan disita termasuk sebuah bas yang dipandu tanpa lesen.

“Kesalahan paling banyak ialah kesalahan melakukan ubah suai seperti tayar motosikal serta nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan lain-lain,” katanya di sini.

Menurut  beliau, seramai 106 pegawai dan anggota penguat kuasa terdiri daripada JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) terbabit dalam operasi itu.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 55 saman polis dikeluarkan oleh pihak JSPT dalam operasi berkenaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN