Negeri Sembilan, negeri pertama sediakan Pelan Pengurusan Kewangan Madani - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan, negeri pertama sediakan Pelan Pengurusan Kewangan Madani

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan menjadi negeri pertama menyediakan Pelan Pengurusan Kewangan Madani di negara ini, bagi memastikan belanjawan tahunan disediakan secara mampan, saling menghormati dan ihsan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 yang akan dibentangkan pada 1 Disember ini telah digarap berdasarkan kepada Pelan Pengurusan Kewangan Madani Negeri Sembilan yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 September yang lalu. 

Katanya, belanjawan ini adalah belanjawan pertama Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan dan melaluinya, kerajaan negeri bertekad menjadikan Negeri Sembilan sebagai model sebuah negeri maju yang bersatu padu, bertoleransi, saling menghormati, bertamadun dengan ekonomi yang mampan dan kehidupan rakyat aman makmur serta sejahtera. 

“Fokus pada tahun ini adalah kepada 10 teras yang terkandung dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dan akan dilaksanakan secara berperingkat, bersifat inklusif merentasi sempadan politik, geografi dan kelompok masyarakat supaya memberi manfaat kepada pelbagai golongan rakyat terutamanya golongan rentan. 

“Penyediaan belanjawan ini telah dilaksanakan secara teliti melalui pelbagai sesi perbincangan dan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan dan memastikan enam bidang tumpuan merangkumi kerohanian, infrastruktur, sosial, pertanian, pelancongan dan pentadbiran terus diperkukuhkan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mimgguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Aminuddin mengharapkan agar Belanjawan Negeri Sembilan 2024 dapat dimanfaatkan oleh rakyat Negeri Sembilan.

“Pada masa sama, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang digalas terutamanya dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup dan keterjaminan makanan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN