Muka baharu mampu terajui Bersatu

Muka baharu mampu terajui Bersatu

Muhyiddin Yassin (tengah) mengambil tempat selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Shah Alam, semalam. – Utusan/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempertahankan jawatan Pre­siden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal membuka ‘gelanggang’ untuk pelapis dan pemimpin baharu membawa parti tersebut ke hadapan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, keputusan tersebut menandakan Muhyiddin sedar bahawa beliau akan membawa risiko kepada Bersatu sekiranya terus menerajui parti.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu dilihat tidak berjaya mengawal dan menangani masalah dalaman yang timbul serta membawa Bersatu sebagai sebuah parti yang dihormati.

KRISIS

“Tindakan empat Ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri memberi gambaran wujud krisis dalam Bersatu dan kelemahan Muhyiddin sebagai pemimpin.

“Ini sebenarnya masa yang sesuai untuk Muhyiddin menyerahkan tugas besar kepada pemimpin-pemimpin pelapis dalam Bersatu, berupaya membawa perubahan dalam parti, mengembalikan keyakinan ahli bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang memerlukan persediaan daripada sekarang.

“Muhyiddin juga sudah pun menjadi Perdana Menteri, kita juga melihat beliau tidak dapat membawa perubahan dan pengaruh yang besar kepada parti­nya. Jadi langkah untuk berundur bukan sahaja mencerminkan jiwa besarnya tetapi turut kesedaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jeniri berkata, Presiden baharu perlu mempunyai ciri-ciri yang meletakkan kepentingan Bersatu melebihi segalanya.

DOMINASI

Jelasnya, Bersatu perlu me­nunjukkan kekuatan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat didominasi oleh Pas.

“Saya rasa boleh beri pada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walaupun beliau ketika ini tidak mempunyai jawatan kanan di dalam parti. Bersatu kena cari pengganti yang mempunyai konsensus dan kesediaan untuk berkompromi serta berkorban.

“Datuk Seri Ahmad Faizal Azu­mu juga boleh diberi peluang memandangkan beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak. Kadang-kadang orang ini mempunyai ‘warna’ yang tidak nampak tetapi jika kita sudah letaknya berada di tempat yang betul ‘warna’ itu akan kelihatan lebih terang,” katanya.

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, sudah tiba masanya Bersatu mempu­nyai perubahan kepimpinan.

BUDIMAN

Katanya, langkah diambil oleh Muhyiddin sebagai langkah seorang pemimpin budiman kerana lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding diri beliau sendiri.

“Ini memberi ruang untuk ‘muka-muka’ baharu, ini juga supaya beliau tidak menjadi liabiliti pada masa akan datang. Maksudnya, seseorang itu perlu meletakkan jawatan secara terhormat,” katanya.

Ismail berkata, Bersatu tidak mempunyai masalah mencari pengganti kerana mereka mempunyai banyak pelapis yang boleh menggalas tanggungjawab untuk mengemudi parti tersebut.

“Untuk menggantikan Muh­yid­din perlu ada kerja-kerja tertentu perlu dibuat, ini kerana mereka berganding dengan Pas yang dipimpin oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ada karisma tersendiri,” katanya.

Beliau dapat merasakan bekas-bekas pemimpin UMNO akan mencuba untuk bersaing mendapatkan jawatan Presiden Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×