Misi Aniq baiki ranking angkat berat di GP Dunia

Misi Aniq baiki ranking angkat berat di GP Dunia

MOHAMAD Aniq memikul misi besar membaiki ranking Olimpik di Grand Prix Dunia, Qatar selepas ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berada pada ranking ke-10 atlet terbaik Olimpik belum menjamin kedudukan selamat buat atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan yang menjadi peserta terbaharu dimasukkan dalam senarai program Road to Gold (RTG).

Atlet muda berusia 21 tahun itu berkata, dia tidak boleh berasa terlalu selesa dengan kedudukan itu kerana tempat tersebut oleh dirampas oleh atlet negara lain.

Justeru, katanya, dia akan berusaha memperbaiki ranking bagi memastikan kedudukan yang lebih terjamin dengan menyertai Grand Prix Dunia di Qatar bulan depan.

“Pada ketika ini kedudukan itu masih belum selamat kerana hanya 10 terbaik dalam ranking Olimpik yang layak dan saya tidak boleh terlalu selesa kerana tempatnya itu boleh dirampas oleh atlet negara lain.

“Saya mensasarkan untuk memperbaiki kedudukan saya itu bagi memastikan tempat saya benar-benar terjamin dan pada awal Disember ini, saya akan terbang ke Qatar bagi menyertai Grand Prix Dunia yang menawarkan mata Olimpik,” ujar pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 di Birmingham itu.

Mengulas pemilihannya ke dalam program RTG, Mohamad Aniq berkata, ia bagai pucuk dicita, ulam mendatang.

“Apabila saya dimaklumkan nama saya berada dalam senarai RTG, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah mendapat kemudahan dan bantuan yang lebih baik.

“Sasaran saya memang besar, kalau boleh mahu menang pingat tak kira warna apa pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, tetapi untuk mencapai impian itu saya memerlukan sokongan terutama daripada Institut Sukan Negara (ISN),” katanya.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan pemenang pingat gangsa dalam acara clean & jerk bagi kategori 61 kilogram (kg) pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi dengan angkatan 166kg itu disenaraikan dalam RTG.

Atlet berusia 21 tahun itu kini berada pada kedudukan ke-10 dalam ranking Olimpik yang juga sebahagian daripada kriteria RTG.

Menurut Aniq, sebagai atlet angkat berat dia terdedah kepada kecederaan dan khidmat ISN amat didambakannya dalam membantu persiapannya layak ke Paris.

Anak kelahiran Johor itu memberitahu, selain khidmat ISN, dia juga amat memerlukan rakan sepelatih yang lebih ramai berbanding yang dimilikinya pada ketika ini hanya tiga orang daripada Program Podium.

“Rakan sepelatih yang lebih ramai amat penting bagi membantu saya berlatih dengan lebih baik dan selain itu, kalau diberi peluang saya mahu berlatih di luar negara kerana saya memerlukan fokus 100 peratus, kalau di Malaysia terlalu banyak komitmen,” tambahnya.

Aniq kini memiliki catatan peribadi terbaik menerusi angkatan 291 kg, kurang 3kg dengan pencapaian pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 iaitu 294kg. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN