PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah berhubung dengan pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi membantu menyelesaikan tunggakan gaji yang dialami pasukan berkenaan.
Menurut Ketua pegawai eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam berkata, masalah kewangan sehingga menjejaskan pembayaran gaji pemain dan pegawai berpotensi mengganggu perancangan MFL untuk mengekalkan jumlah pasukan bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.
Jelasnya, badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu akan melakukan apa sahaja termasuk jika terpaksa mengurangkan jumlah pasukan bertanding demi menjaga imej liga.
“Baru-baru ini, pemilik kelab Kedah Tan Sri Daud Bakar menjelaskan apa yang berlaku dan saya berterima kasih kerana dia tidak lari daripada tanggungjawab.
“Beliau membuktikan sebagai pemilik yang bertanggungjawab. Kedah bukanlah kerap mengalami tunggakan gaji. Jadinya. kami memberi mereka ruang untuk menyelesaikannya,” katanya.
Terdahulu, perancangan awal Liga Super musim ini sepatutnya membabitkan 16 pasukan namun disebabkan kegagalan Melaka United dan Sarawak United memperoleh lesen kebangsaan sekali gus terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super 2023.
Tindakan tegas dilakukan MFL, jelas mahu memastikan imej Liga Malaysia tidak terpalit dengan kontroversi terutama membabitkan tunggakan gaji, bagaimanapun perkara itu masih berlaku disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pasukan yang enggan berbelanja mengikut kemampuan sendiri.
“Saingan liga musim ini sepatutnya mempunyai 16 pasukan, penyingkiran Melaka United dan Sarawak United FC adalah disebabkan masalah dalaman mereka.
“Jadi jika timbul isu, kami (MFL) perlu mengurangkan kepada 13 pasukan (musim depan), jika ia harus berlaku, maka ia harus berlaku,” katanya.
Selepas hampir dua musim Liga Malaysia (Liga M) melalui penswastaan, masalah tunggakan gaji belum dapat dihapuskan sepenuhnya apabila beberapa kelab bertaraf gergasi turut mengalami masalah tunggakan pemain mereka.
Difahamkan, ketika ini antara pasukan yang dipalit isu gaji adalah membabitkan Kedah, Sabah, Kelantan FC, Kelantan United, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur City (KL City). – UTUSAN