PUTRAJAYA: Malaysia menjadi tuan rumah dalam mesyuarat ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN PAC) Ke-21 yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober ini.
Objektif ASEAN PAC yang dianjurkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah mengukuhkan kerjasama serantau melalui perkongsian pintar antara sektor awam-swasta dalam memerangi rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mesyuarat ini akan disertai 10 negara ASEAN dan organisasi-organisasi antarabangsa selain Timor-Leste yang menjadi negara pemerhati.
“Ia juga akan memberi peluang kepada SPRM untuk menerangkan inisiatif anti rasuah yang telah dijalankan kepada negara lain dan pada masa sama mendapatkan pandangan mereka mengenai usaha yang telah mereka lakukan,” katanya dalam temubual khas di SPRM semalam.
Azam berkata, penganjuran mesyuarat ini akan membolehkan Malaysia mendapat penilaian yang baik kerana melaksanakan inisiatif mendatangkan manfaat kepada negara lain dalam aspek meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Dalam perkembangan lain, Azam memaklumkan, SPRM akan melancarkan program antirasuah peringkat nasional iaitu Keep Malaysia Clean (KMC) sempena hari ulang tahunya pada 1 Oktober ini yang dijadual akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, KMC dianjurkan dengan kerjasama Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan SPRM telah telah mengadakan libat urus dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi mendapatkan sokongan dan kerjasama strategik.
“KMC akan dijalankan selama 15 bulan yang mana ia adalah satu blueprint untuk kami melihat pendekatan baharu untuk menerapkan nilai-nilai bersih tanggungjawab sivik dan juga integriti di semua sektor termasuk kerajaan, swasta, pelajar dan komuniti.
“Program ini akan menggunakan pendekatan lebih strategik dengan penganjuran program yang lebih jelas terhadap kumpulan-kumpulan sasar yang telah kita kenal pasti itu,” katanya. – UTUSAN










