Ketersediaan guru perlu diambil kira – Fadillah

Ketersediaan guru perlu diambil kira – Fadillah

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTULU: Ketersediaan guru perlu diambil kira sebelum sistem penilaian tersendiri iaitu peperiksaan khas untuk seluruh pelajar tahun enam di semua sekolah kerajaan di negeri Sarawak dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Fadillah bagaimanapun menjelaskan bahawa rundingan terhadap cadangan itu akan terus dilaksanakan bersama Kementerian Pendidikan serta jawatankuasa Perjanjian Malaysia (MA63).

“Ia masih dalam konteks cadangan, dan bila ada cadangannya perlu ada perundingan, kemudian dimuktamadkan dan kemudiannya baru la kita men­getahui sama ada diluluskan atau tidak.

BERSEDIA

“Sebab kita perlu melihat sama ada guru-guru ini bersedia atau tidak, barulah kita dapat melihat kepada keberhasilannya.

“Jadi dalam konteks MA63, ia akan turut dibincangkan juga bersama jawatankuasa. Kerana ini melibatkan banyak perundingan terlebih dahulu selepas cadangan dikemukakan,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Fadillah yakin keberhasilan kepada sistem peperiksaan khas itu akan mengambil kira ketersediaan para guru di peringkat sekolah.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, penilaian tersebut akan menyerupai UPSR yang sebelum ini dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Kata Roland Sagah, kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk merealisasikan pelan tersebut kerana ia dipercayai akan membantu pelajar-pelajar untuk mempunyai sistem penilaian sendiri.

Bagaimanapun beliau berkata cadangan kepada perkara tersebut bergantung kepada dasar Persekutuan.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkanberkata, kementeriannya akan memberi input kepada Sarawak berhubung cadangan merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk murid Tahun Enam di semua sekolah kerajaan di negeri itu.

Selain itu, sekiranya kerangka yang mahu dibangunkan itu bertujuan memperkukuh pentaksiran, pastinya kementerian pendidikan akan sokong kerana ia adalah hala tuju KPM iaitu pembangunan holistik (melalui) pentaksiran bukannya peperiksaan.

Kata Fadhlina, kementeriannya sentiasa menganggap Sarawak antara negeri contoh yang sentiasa memberi tum­puan kepada pendidikan. Malah, dengan adanya MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan perbincangan jawatankuasa, kita sentiasa ada panduan untuk pelaksanaan apa sahaja program pengukuhan di peringkat negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN