Kes jenayah babitkan belia Johor meningkat - Utusan Malaysia

Kes jenayah babitkan belia Johor meningkat

MOHD. HAIRI MAD SHAH menjawab soalan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kes jenayah membabitkan golongan belia di negeri ini merekodkan peningkatan, iaitu sebanyak 2,402 kes sejak awal bulan sehingga bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, jumlah itu meningkat berbanding 1,970 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, statistik dikeluarkan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menunjukkan kes tertinggi ialah curi sebanyak 862 kes, diikuti jenayah seksual (692), vandalisme (239), samun (166), samseng/kongsi gelap (10) dan buli (5).

“Bagi kesalahan narkotik membabitkan belia di bawah usia 40 tahun di negeri ini turut meningkat sebanyak 17.2 peratus kepada 9,942 kes berbanding 8,482 kes pada tahun lalu.

“Ia membabitkan pelbagai kesalahan mengedar, memiliki dan mengambil dadah yang disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A, Seksyen 12, Seksyen 6 dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menjawab soalan Marina Ibrahim (PH-Skudai) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, kesalahan trafik membabitkan golongan belia mencatatkan penurunan, iaitu 2,251  berbanding 2,455 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Namun, jumlah tangkapan babitkan lumba haram meningkat kepada sebanyak 421 kes hingga Oktober lalu, berbanding 270 tahun lalu. 

“Tangkapan kesalahan mabuk dalam kalangan belia turut meningkat kepada 492 kes berbanding hanya 470 dalam tempoh yang sama,” katanya.

Menurutnya, jumlah belia di Johor adalah 45.1 peratus daripada empat juta rakyat negeri ini melibatkan 1.681 juta dengan 68,692 daripadanya adalah belia berstatus orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Mohd. Hairi berkata, Jabatan Belia dan Sukan negeri telah melaksanakan 10 program Intervensi Sosial dari Belia Untuk Belia (Y2Y) pada tahun ini.

“Program  ini menumpukan  advokasi, kempen, pendidikan dan latihan yang memberi fokus terhadap usaha untuk mengurangkan pembabitan belia dalam isu serta permasalahan sosial serta melibatkan 1,129 peserta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya