ISKANDAR PUTERI: Pengendali Perak FC, Yusry Che Lah mengakui kecewa dengan kekalahan 1-8 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kelmarin.
Beliau berkata, mereka telah bekerja keras dan melakukan yang terbaik dalam perlawanan itu, jadi tidak adil untuk menyalahkan mereka semata-mata.
“Rasa kecewa itu sudah pasti, tiada mana-mana pasukan yang hadir perlawanan bola sepak mahu dibolosi sehingga lapan gol. Sudah tentu kita juga tidak mahu situasi seperti itu dan sebenarnya tidak terbayangkan keputusan itu.
“Namun begitu, kita tidak seharusnya berasa malu dengan keputusan ini, sebaliknya perlu mengakui perbezaan antara kedua-dua pasukan. Ternyata JDT adalah pasukan lebih baik dengan pemain-pemain yang lebih bijak dan berkualiti.
“Kita sudah menurunkan barisan pemain terbaik yang ada tetapi semua orang tahu kekuatan dan kelebihan JDT apatah lagi bermain di laman mereka sendiri. Pemain usah malu, saya pikul tanggungjawab sepenuhnya dan akan bawa mereka untuk terus pandang ke depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Tambah Yusry, pihaknya tidak menolak faktor pemainnya terlalu menghormati dan memandang tinggi pemain-pemain JDT yang dilihat berada pada satu tahap berbeza berbanding mereka sendiri.
“Semua perlu ambil iktibar dengan keputusan ini, ia adalah pengalaman berguna buat semua pihak, jadi jangan terlalu bersedih kerana kita perlu lakukan persiapan berdepan perlawanan seterusnya. InshaAllah Perak akan kembali bangkit.
“Saya tidak risau dengan apa yang berlaku, sebaliknya kita akan belajar dan lihat penambahbaikan yang harus dibuat dengan serta merta, pemain juga dapat lihat di mana kedudukan mereka ketika ini,” ujarnya.
Yusry turut menambah, pemainnya bermain dengan baik pada tempoh 10 minit pertama dengan perlawanan kelihatan seimbang dimana kedua-dua pasukan mengatur gerakan termasuk beberapa percubaan berjaya dihasilkan.
“Sebelum jaringan pertama nampak permainan seimbang tetapi selepas jaringan pertama JDT, kita dapat lihat pasukan agak takut bermain, lebih lagi pada separuh masa kedua.
“Walaupun kita cuba untuk tonjolkan permainan sebenar kita tetapi tidak dapat lakukan, pemain dilihat terlalu menghormati JDT sehingga menyebabkan deretan jaringan-jaringan seterusnya,” jelasnya. – UTUSAN