Johor tetapkan 81 km syarat sah solat jamak, qasar - Utusan Malaysia

Johor tetapkan 81 km syarat sah solat jamak, qasar

Yahya Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor  mewartakan jarak 81 kilometer (km) sebagai jarak dua marhalah, iaitu syarat sah solat jamak dan qasar serta hukum fiqah lain.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, fatwa itu diwartakan dalam Warta Kerajaan Johor bertarikh 9 November lalu di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 (Enakmen 16 Tahun 2003) dan telah mendapat perkenan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, atas perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan fatwa yang dinyatakan untuk disiarkan menurut Subseksyen 48 (6) enakmen itu.

“Adalah ditetapkan bahawa penentuan kadar dua marhalah bagi musafir untuk menunaikan ibadah solat jamak dan qasar serta hukum-hukum fiqah lain yang memberi keringanan (rukhsah) adalah 81 km,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pada 25 April tahun lalu, jawatankuasa berkenaan membuat keputusan penetapan kadar dua marhalah adalah sejauh 81 km setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti daripada pelbagai sudut.

Keputusan itu selaras dengan keputusan dicapai mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke-118 pada 16 hingga 17 Februari 2021.

Muzakarah itu berpendapat bahawa hukum penentuan kadar dua marhalah, kariah dan balad dari perspektif fiqah semasa adalah adalah 81 km dengan persempadan dan penentuan kariah serta balad adalah mengikut empat pilihan.

Pilihan pertama persempadanan dan penentuan kariah serta balad boleh mengikut kaedah, uruf dan ketetapan negeri-negeri selaras akta atau enakmen negeri.

Ia juga boleh mengikut peta yang dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) atau peta disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melalui sistem i-PLAN.

Pilihan keempat menerusi persempadanan dan penentuan kariah serta balad yang boleh mengambil kira populasi kepadatan penempatan secara vertikal seperti kondominium, rumah pangsa dan seumpamanya yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya