Sidang DUN: Johor rekod pelaburan komited RM14.23 pada suku kedua - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Johor rekod pelaburan komited RM14.23 pada suku kedua

LEE TING HAN menggulung perbahasan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan pelaburan komited sebanyak RM14.23 bilion dalam suku kedua tahun ini bermula Januari hingga Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, daripada jumlah tersebut, RM10.884 bilion  atau 76.5 peratus daripada sektor perkhidmatan dan RM3.347 bilion dalam sektor pembuatan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 422 projek yang diluluskan yang dijangka dapat mewujudkan 6,898 peluang pekerjaan. 

“Melihat trend kemasukan pelaburan, Johor optimistik dan menjangkakan sektor pelaburan akan terus berkembang dengan pesat pada suku ketiga dan keempat tahun ini. 

“Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Johor antara negeri yang menyaksikan peralihan atau penstrukturan rantaian bekalan atau perindustrian di rantau ini akibat trend perang perdagangan Amerika Syarikat- China,” katanya semasa sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri  (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Ting Han (BN-Paloh) berkata, Invest Johor juga telah membentangkan beberapa sektor fokus supaya mendapat perhatian dan sokongan insentif daripada kerajaan Persekutuan. 

Antaranya, sektor elektrik dan elektronik, sains hayat dan teknologi perubatan, pembuatan dan kejuruteraan termaju, ekonomi digital, ekonomi hijau dan industri halal.

Katanya, sektor lain turut diberi tumpuan ialah industri kenderaan elektrik (EV), aeroangkasa, kimia dan petrokimia, pelabuhan dan logistik.

“Johor juga menjangkakan lebih banyak prospek pelabur akan meneroka peluang perniagaan dalam sektor tenaga hijau susulan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Saya dan Pengerusi  Pusat Kelestarian Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad akan menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Dubai dan akan mengambil kesempatan ini untuk menarik pelaburan dalam sektor ini,” katanya.

Dalam masa sama, Ting Han berkata, Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) akan menjalankan kajian semakan semula Pelan Induk Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) bagi memastikannya kekal relevan.

Kajian itu berkaitan pendekatan terhadap komponen-komponen baharu dalam bidang peralihan tenaga serta memberi tumpuan terhadap industri kimia dan petrokimia.

“Langkah ini penting kerana PIPC juga sudah mula menerima minat pelaburan ‘daripada industri-industri yang menekankan dalam elemen pembangunan lestari, global dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN