Bersatu Kepala Batas dibubar dalam masa terdekat

Bersatu Kepala Batas dibubar dalam masa terdekat

KHALIQ MEHTAB MOHD. ISHAQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seluruh jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kepala Batas bersetuju untuk membubarkan jawatankuasa bahagian dalam masa terdekat.

Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, keputusan itu dibuat selepas seluruh jawatankuasa melihat hala tuju parti menyimpang daripada matlamat asal perjuangan.

“Saya dan Jawatankuasa Bahagian Kepala Batas sebenarnya sudah bersedia untuk membubarkan jawatankuasa Bahagian Kepala Batas dalam masa terdekat.

“Keseluruhan jawatankuasa bahagian bersetuju dengan hala tuju saya dan seiring dengan halatuju Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Kami merasakan Bersatu bukan lagi wadah perjuangan yang sesuai untuk kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jumaat lalu, Bersatu memecat 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Hamzah yang juga Ketua Pembangkang.

Selain itu, pimpinan Bersatu Bahagian Lembah Pantai dan Larut turut mengumumkan pembubaran kedua-dua bahagian itu serta-merta selepas beberapa pemimpin kanan parti disingkirkan kerana sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin serta kepimpinan parti.

Khaliq Mehtab berkata, kekecewaan mereka berpunca daripada pengurusan parti yang lemah serta masalah dalaman yang gagal ditangani secara profesional.

Katanya, jawatankuasa pengukuhan parti sebelum ini diketuai oleh Tan Sri Rais Yatim, namun selepas beberapa siri percubaan, beliau meletakkan jawatan kerana berpendapat usaha tersebut tidak berhasil.

“Beberapa tindakan individu dalam parti termasuk geseran dengan Pas dan kenyataan yang menimbulkan ketegangan telah menjejaskan keharmonian parti.

“Contohnya, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz sepatutnya menumpukan usaha menyerang kerajaan, tetapi sebaliknya menyerang ahli parti sendiri dan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga menimbulkan kemelut yang sukar untuk diselesaikan.

“Hubungan Bersatu dengan Pas adalah penting kerana kedua-duanya saling memerlukan. Tindakan mengeluarkan kenyataan yang menggores hati rakan komponen telah menimbulkan geseran yang boleh merosakkan hubungan ini,” katanya.

Mengulas mengenai jawatan Ketua Pembangkang, Khaliq Mehtab berpendapat Hamzah merupakan calon paling layak untuk meneruskan tanggungjawab tersebut.

“Walaupun dipecat daripada Bersatu, beliau masih layak meneruskan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×