ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 874 kawasan ‘hotspot’ banjir dikenal pasti di seluruh negeri ini ekoran Monsun Timur Laut yang dijangka melanda bermula esok hingga Mac tahun depan.
Justeru Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa agar berfungsi dengan baik sebagai persediaan awal dan beberapa pelan tindakan juga dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut.
“Jabatan Meteorologi telah memberi amaran tiga hari sebelum hujan lebat yang dijangka berterusan di daerah masing-masing. Oleh itu, setiap pegawai daerah diminta mengadakan mesyuarat penyelarasan bencana dalam tempoh 24 jam selepas mendapat amaran tersebut.
“Kerajaan negeri turut mencadangkan supaya program gotong-royong membersih saliran, longkang dan parit di setiap daerah dan kampung diadakan terutamanya di tempat yang kerap berlaku banjir. Usaha ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan risiko kenaikan air mendadak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Kota Iskandar, di sini.
Menteri Besar berkata, mesyuarat itu turut membincangkan situasi pencemaran sungai di negeri ini melibatkan Sungai Tebrau, Sungai Skudai, Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah.
“Masalah berkenaan perlu diberi perhatian serius dan langkah pencegahan perlu dilaksanakan segera agar pencemaran sungai dapat diatasi dengan baik.
“Beberapa langkah telah diambil, namun saya seru rakyat Johor untuk sama-sama menjaga kebersihan sungai kerana kebersihan mencerminkan kehebatan dan mentaliti bangsanya,” katanya. – UTUSAN










