Jawatankuasa khas bencana Felda Jengka 24 siap siaga hadapi banjir - Utusan Malaysia

Jawatankuasa khas bencana Felda Jengka 24 siap siaga hadapi banjir

RAZAK DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Jawatankuasa khas bencana Felda Jengka 24 di sini kini bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir apabila negara bakal berhadapan dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang akan bermula pada 11 November ini dan berakhir pada Mac tahun depan.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, jawatankuasa khas itu ditubuhkan pada 2014 bagi menyelaras segala persiapan menghadapi banjir yang setiap tahun berlaku di tanah rancangan itu.

“Kami di Felda Jengka 24 sudah pun mengenalpasti mangsa-mangsa seperti ibu mengandung, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan warga emas yang uzur untuk dipindahkan terlebih dahulu jika bencana banjir berlaku.

“Persediaan lengkap sudah dilakukan oleh jawatankuasa khas bencana bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan dan operasi memindahkan penduduk terjejas banjir jika bencana itu berlaku,” katanya di sini hari ini.

MTL yang dijangka bermula 11 November ini sehingga Mac tahun depan berkemungkinan membawa empat hingga enam episod hujan lebat sepanjang tempoh tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, dalam fasa awal iaitu pada November ini hingga Januari depan, hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

Mengulas lanjut, Razak berkata, jika berlaku banjir, penduduk terjejas akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 24.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan peneroka di Felda Jengka 24 khususnya yang sering terjejas banjir supaya membuat persiapan awal bagi menghadapi keadaan cuaca tidak menentu sepanjang MTL.

“Apa yang lebih penting sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kawasan tanah rancangan lain di negeri dan negara ini supaya mewujudkan jawatankuasa khas bencana seperti dilaksanakan di Felda Jengka 24.

“Jawatankuasa khas ini dianggotai pemimpin setempat dan dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kami Anak Felda (KAF), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Gabungan Peneroka Wanita dan anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela),” katanya.

Jelasnya, jawatankuasa khas bencana terbabit terbukti berkesan berhubung urusan pemberian bantuan dan juga operasi memindahkan penduduk yang terjejas banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya