Isu sokong Anwar, Muhyiddin kena cermin diri dulu  - Mohd. Puad - Utusan Malaysia

Isu sokong Anwar, Muhyiddin kena cermin diri dulu  – Mohd. Puad

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta untuk mencerminkan dirinya terlebih dahulu sebelum mendakwa empat ahli parlimennya yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim diugut dan disogok.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membangkitkan persoalan siapakah sebenarnya menggunakan taktik tersebut untuk mendapatkan sokongan.

“Muhyiddin patut cermin diri sendiri. Siapa yang guna kaedah ugut dan sogok. Semua ahli parlimen UMNO yang keluar parti (pada tahun) 2018 dan masuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) 2019 jadi menteri.

“Semua dapat jawatan. Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed), Dr Latif (Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad), Ikmal Hisham (Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz), Mas Ermieyati (Datuk Mas Ermieyati Samsudin), Hamzah Zainudin (Datuk Seri Hamzah Zainudin), Dr. Nor Azmi (Datuk Dr Noor Azmi Ghazali) dan Shabudin Yahaya (Datuk Shabudin Yahaya).

“Pemimpin UMNO seperti Najib (Datuk Seri Najib Razak), Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor), Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), Shahril Samad (Tan Sri Shahrir Abdul Samad) dan Azeez Rahim  (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) pula diugut dengan puluhan tuduhan. Mereka tidak lari.

“Tanya Tok Pa dan Hamzah. Kenapa lari? Takut didakwa. Peruntukan punya hal pun boleh lari, ini semua kerana mereka tidak ada jati diri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Muh­yiddin yang juga Presiden Bersatu mendakwa, terdapat gerakan terancang par­ti lawan untuk melemahkan partinya dan Perikatan Nasio­nal (PN) dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen.

Bagaimanapun, bekas Perdana itu menegaskan, par­tinya tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat itu dan tindakan yang lebih tegas akan diambil.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN