‘Dunia saksi kekejaman Zionis’

‘Dunia saksi kekejaman Zionis’

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Dunia kini sedang sakit dan dibimbangkan berkemungkinan menjadi tenat, jika krisis persaingan dan pergolakan seperti di Palestin terus berlaku dan gagal dibendung.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, amat memilukan melihat penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin akibat perbuatan zalim rejim Zionis Israel yang tidak tergamak dilakukan oleh makhluk bergelar manusia.

“Penderitaan yang dialami oleh insan-insan tidak berdosa di bumi Palestin mengembalikan ingatan kepada kata dua yang diungkapkan oleh tentera Athen kepada penduduk Pulau Melos semasa Perang Peloponnesia antara Athens dan Sparta pada tahun 416 sebelum Masihi ‘The strong do what they can and the weak suffer what they must’.

BERKECUALI

“Penduduk Pulau Melos yang memilih sifat berkecuali dan tidak mahu menyerah diri telah dikepung, semua penduduk lelaki dibunuh dan semua wanita dan kanak-kanak diperhamba.

“Sikap yang mementingkan diri dan sikap yang merasakan diri sendiri sahaja yang betul akan membawa kepada kemusnahan.

“Membenci dan bermusuhan bagaikan pilihan kalangan yang memiliki kuasa, yang kelihatan lebih cenderung untuk bersaing daripada bekerjasama. Akibatnya usaha-usaha membangun insan, menghapuskan kemiskinan, mengatasi kekurangan makanan, dan membasmi kejahilan serta buta huruf menjadi bertambah sukar,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-67 baginda di Istana Iskandariah di sini semalam.

Sultan Nazrin bertitah, dunia juga sedang menghadapi masalah bekalan perkhidmatan dan barangan, terutama bahan makanan yang semakin sukar diperoleh, menyebabkan kos sara hidup terus meningkat, mengakibatkan rakyat di serata dunia menanggung kesusahan.

BERDENDAM

“Bermuafakat lebih baik daripada bersengketa, bermesyuarah lebih baik daripada bertelagah, dan bermaaf-maafan lebih baik daripada berdendam.

“Insaflah! Kedamaian lebih baik daripada peperangan; Insaflah! Akar kemanusiaan hanya tumbuh dalam suasana persahabatan dan kerjasama; Insaflah! Kedamaian akan tinggal dalam impian jika tidak ada rasa muhibah dalam hati insan.

“Suara kebenaran di tengah-tengah arus yang memilih untuk berkonflik dan usaha perdamaian dalam dunia yang memilih untuk berperang, memerlukan kekuatan, ketabahan dan keberanian luar biasa, mengatasi kekuatan, ketabahan dan keberanian seorang soldadu di medan perang,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas kebijaksa­naan baginda berdua mengangkat kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2024 akan tercatat dalam sejarah menghadapi cabaran-cabaran berat yang tidak ada duluan ketika baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI.

“Baginda berurusan dengan empat orang Perdana Menteri dan empat pasukan Jemaah Menteri, di samping memper­kenankan lantikan tiga orang Perdana Menteri.

“Dalam tempoh pemerintahan baginda, dunia dilanda wabak Covid-19, yang memerlukan rakyat di negara ini dikenakan perintah kawalan pergerakan.

“Ketika berhadapan isu-isu penting negara, Baginda telah mengamalkan budaya syura yang tinggi, menjemput Raja Pemerintah dari negeri-negeri untuk bermesyuarah mencari persefahaman dan kata sepakat dalam semangat gunung sama didaki – berat sama dipikul,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan menggantikan Al-Sultan Abdullah berupaya menyuntik roh dan tenaga kepada takhta pemerintahan Kerajaan Persekutuan.

“Semoga baginda dilimpahi nur dan petunjuk Ilahi, meneruskan kesinambungan institusi Yang di-Pertuan Agong yang menjadi pelindung amalan demokrasi, tiang seri keharmonian rakyat dan nadi perpaduan negara,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN