PETALING JAYA: Tindakan Israel yang berterusan melakukan serangan udara dan darat lebih 40 hari ke atas Semenanjung Gaza membuktikan dunia sedang mengabaikan nilai kemanusian dan tanggungjawab moral kepada rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, krisis kemanusiaan di Palestin tersebut memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat Palestin atau rantau Timur Tengah secara meluas, tetapi juga kepada hubungan global untuk satu tempoh yang panjang.
“Saya tegaskan apa yang berlaku di Gaza jelas menyerlahkan kegilaan menidakkan tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku seterusnya mengakibatkan malapetaka iklim,” kata beliau menerusi catatan di Facebook semalam.
Perkara tersebut disuarakan Anwar pada Majlis Dialog Tidak Rasmi dan Makan Tengah Hari Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Sesi yang berlangsung di Moscone Centre itu dipengerusikan Presiden AS Joe Biden dengan dihadiri oleh semua pemimpin APEC.
Sejak kehadiran Perdana Menteri di San Francisco, beliau membangkitkan isu krisis kemanusiaan di Palestin secara konsisten.
Sehingga ini, jumlah korban akibat serangan rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu meningkat kepada 11,500 orang, termasuk 4,710 kanak-kanak dan 3,160 wanita selain 200 kakitangan perubatan, 22 anggota pertahanan awam serta 51 wartawan.
MENCECAH
Bilangan mangsa yang cedera dilapor mencecah 29,800 dengan 70 peratus daripadanya kanak-kanak dan wanita.
Pada masa sama, sebanyak 95 bangunan kerajaan, 255 sekolah dan 74 masjid musnah manakala 162 mengalami kerosakan, termasuk tiga gereja.
Tentera Israel turut mensasarkan 52 pusat kesihatan dan 55 ambulans, sementara 25 hospital tidak lagi berfungsi.
Dalam majlis sama, Anwar berkata, negara-negara maju perlu melakukan lebih banyak memikul tanggungjawab dan membantu negara membangun dalam misi peralihan tenaga.
“Malaysia juga sedang mengubah ekonominya dan melabur dalam masa depan yang lebih bersih dan hijau termasuk melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.
“Syarikat minyak nasional, Petronas memberi komitmen untuk laluan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Ketika ini, Anwar turut mengadakan pertemuan santai bersama beberapa pimpinan lain di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.
“Antaranya dengan Presiden Indonesia, Perdana Menteri Jepun, Perdana Menteri Australia dan pimpinan-pimpinan lain.
“Kami sempat bicara pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama serta melaungkan komitmen untuk terus bekerjasama menerusi pelbagai bidang,” katanya.
Kata Anwar, ketika pertemuan dengan Vietnam, Presiden Vo Van Thuong bersetuju meningkatkan kerjasama bagi menangani aktiviti penangkapan ikan haram di perairan Malaysia.
“Vietnam juga meminta Malaysia memudahkan kemasukan produk halal dan menjalin kerjasama dalam pensijilan halal,” katanya.
Pertemuan bersama Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra memohon Malaysia mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat di Peru untuk menjadi pemudah cara pensijilan halal bagi produk di negara tersebut.
“Malaysia berterima kasih kepada Peru kerana menyelamatkan dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Peru baru-baru ini,” kata Anwar.- UTUSAN










