Dia kembalikan senyuman yang hilang - Fizi Ali lebih bahagia - Utusan Malaysia

Dia kembalikan senyuman yang hilang – Fizi Ali lebih bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyampai radio, Fizi Ali, mengakui kehidupannya selepas berkahwin dengan isteri, Siti Zulaika, 30, sangat bahagia selain menyifatkan wanita itu seperti mengembalikan keceriaannya yang hilang..

Menurut Mohd Hafizudin Alimudin, 36, sejak penceraian, hidupnya ibarat terumbang-ambing dan menangis hampir setiap hari kerana merindui anaknya, Nurul Ameena Sofia, 4.

“Dahulu hidup saya sangat menyedihkan. Bayangkan setiap pagi saya nampak gembira di konti, namun ketika dalam perjalanan pulang, saya akan menangis. Saya terlalu merindui anak saya.

“Ibu saya juga pernah mencadangkan untuk pergi mendapat rawatan pakar kerana risau dengan keadaan saya. Ketika itu, isteri pernah berjanji sebelum berkahwin untuk mengembalikan senyuman saya yang hilang.

“Alhamdulillah, dia benar-benar menepati janjinya itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sri Pentas Bandar Utama, hari ini.

Bukan itu sahaja, Fizi sangat bersyukur kerana hubungan Ameena bersama isteri dan anak tirinya, Damia sangat mesra dan akrab.

“Saya sangat bersyukur kerana Ameena mudah mesra dengan isteri. Mungkin kerana isteri saya seorang yang penyayang dan bijak mengambil hati.

“Selama ini Ameena membesar sendirian. Bila tahu dia kini mempunyai seorang kakak, dia sangat gembira.

“Mereka sangat rapat, kalau ke mana-mana asyik berpegangan tangan,” tambahnya.

Sebelum ini, Fizi mengumumkan perkahwinan pada 23 Oktober lalu menerusi sebuah hantaran di Instagram rasmi miliknya. Pernikahan berlangsung di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Selangor.

Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kedua penyampai radio itu selepas bercerai dengan pelakon Shakila Khoriri pada 18 Februari 2018.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nurul Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun.

Bagaimanapun, selepas tiga tahun, pasangan tersebut mengumumkan penceraian pada Disember 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN