DEWAN RAKYAT: Pembangkang tuntut kuota satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak  - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: Pembangkang tuntut kuota satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak 

Dr. Ronald Kinadee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang mahu kerajaan memulakan langkah meminda Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957 bagi merealisasi kuota satu pertiga kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, sekali gus meraikan semangat pembentukan Malaysia. 

Datuk Seri Dr. Ronald Kinadee berkata, terdapat instrumen penting dalam penubuhan Malaysia melibatkan kedua-dua wilayah itu berhubung 20 perkara di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). 

“Saya mahu tahu, dalam SPR menstruktur semula sempadan pilihan raya, adakah akan mengambil kira semangat pembentukan Malaysia? Perkara ini sudah tertangguh hampir 60 tahun, jadi semangat ini harus diterjemah dengan melakukan pindaan kepada akta SPR dahulu.  

“Laporan IGC jelas menyentuh tentang bilangan kerusi Dewan Rakyat yang harus diwakili Sabah dan Sarawak yang tidak kurang dari satu pertiga jumlah kerusi seluruh Dewan Rakyat. 

“Perkara ini telah dimeterai dan dipersetujui oleh pemimpin terdahulu untuk menentukan supaya Sabah, Sarawak ada suara satu pertiga di Dewan Rakyat,” katanya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini. 

Semalam, media melaporkan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) akan membangkitkan isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia (MA63) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

TUNTUTAN

Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau akan memulakan tuntutan itu selepas mendapatkan input tambahan dari pelbagai pihak termasuk biro pilihan raya parti.

“UPKO menyokong supaya komposisi satu pertiga kerusi parlimen diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak. Perkara ini penting bagi memberi keseimbangan politik antara wilayah Borneo dengan Semenanjung.

“Wilayah Borneo (Sabah dan Sarawak) boleh menjadi pengimbang atau menonjolkan politik yang lebih moderate. Sebab itu saya melihat ada kewajaran dan asas yang kuat untuk tuntutan kerusi parlimen satu pertiga,” katanya. 

Pada September 2022, Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dilaporkan memperakui langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Perakuan itu menyaksikan kedua-dua negeri bakal memiliki 78 daripada 222 kerusi Parlimen.

Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak (24) dan Singapura (15) (sebelum meninggalkan Malaysia) yang mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen ketika itu. Baki 65 peratus atau 104 kerusi milik Tanah Melayu.

Terkini, 166 atau 75 peratus daripada 222 kerusi Parlimen di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi untuk negeri-negeri Borneo iaitu Sarawak (31) dan Sabah (25).

Bagaimanapun, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, usaha mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak adalah langkah kurang bijak.

Ini kerana, katanya, ia akan merumitkan urusan persempadanan di seluruh negara sekali gus menjejaskan kawasan Parlimen di Semenanjung.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung berkurang jika kerajaan mengekalkan 222 kerusi keseluruhan dengan 35 peratus daripadanya milik Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN