KUALA LUMPUR: Kerajaan merekodkan 17,301 saringan kesihatan mental melalui Modul Kesihatan Mental (MyMinda) menerusi aplikasi MySejahtera sejak program itu dilancarkan Oktober lalu.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,983 atau 23 peratus saringan didapati individu mempunyai risiko kemurungan dan 2,592 atau 15 peratus pula mempunyai risiko keresahan.
Sehubungan itu, katanya, individu yang berisiko akan diberi akses kepada bahan-bahan psiko-pendidikan yang terdapat di dalam MyMinda selain pengguna diberi akses kepada Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555.
“Pengguna juga boleh mendapatkan akses kepada janji temu perkhidmatan kesihatan mental di semua klinik kesihatan yang dimulakan tahun depan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan mengadakan libat urus bersama pihak universiti dan kaunselor atau profesional kesihatan mental swasta, yang mana kita sedang usahakan bagi mempertingkatkan akses perkhidmatan kesihatan mental kepada orang awam,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad [BN-Parit Sulong] mengenai pencapaian MyMinda dalam aplikasi MySejahtera.
PENCAPAIAN
Dalam pada itu, katanya, kerajaan sudah meluluskan pembinaan Pusat Kecemerlangan Mental Kebangsaan (NCEMH) dengan kos sebanyak RM500,000 mengenai pencapaian terkini Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan sejak dilancarkan 22 Oktober lalu.
Katanya, lokasi asal tapak cadangan NCEMH adalah di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi berkeluasan 12.18 hektar hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk kegunaan KKM.
Bagaimanapun, kata Zaliha, berdasarkan laporan teknikal tapak yang disediakan oleh Unit Kejuruteraan Operasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, keadaan muka bumi tapak itu beralun, berlurah dengan kedalaman 6.096 meter, mempunyai takungan air (paya) dan mempunyai sungai yang menyusuri tapak berkenaan.
Katanya, KKM mengenal pasti tapak alternatif iaitu di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan yang mana sebahagian tapak itu digunakan bagi pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara (NCDC).
“Kerja-kerja pembinaan NCDC ini sedang rancak berjalan, namun kementerian baru saja menerima laporan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengesahkan bahawa tapak di Bandar Baru Bangi adalah tidak sesuai untuk pembangunan NCEMH ini.
“Permohonan pertukaran tapak projek sedang disediakan dan akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN