Bola sepak: Ada sebab Pan Gon senaraikan Sumareh

Bola sepak: Ada sebab Pan Gon senaraikan Sumareh

SUMAREH antara pemain JDT yang dipanggil menyertai kem Harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peminat setia Harimau Malaya tidak perlu bimbang dengan ‘kemasukan’ beberapa pemain baharu ke dalam skuad kendalian Kim Pan Gon kerana jurulatih dari Korea Selatan itu pastinya tahu apa yang terbaik untuk pasukan.

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berkata, dia percaya Pan Gon mempunyai alasan tersendiri dalam pemilihan pemain termasuk kembali menyenaraikan tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh biarpun kurang memiliki minit permainan di peringkat kelab.

Safee yang juga merupakan pemenang kasut emas Piala AFF 2010 berkata, Pan Gon adalah seorang jurulatih yang cukup teliti dalam tugasannya dan sudah pasti tindakan memanggil Sumareh mempunyai sebab dan asas yang kukuh.

“Saya berasa kita patut serahkan segala perancangan kepada Pan Gon sebab beliau yang lebih tahu (kenal pemain), setiap hari dia memantau pemain.

“Dia juga tahu bagaimana nak mencorakkan pasukan dia sendiri. Mungkin dalam senarai dia sudah tahu berapa nama yang harus dipanggil dan juga yang tak harus dipanggil.

“Skuad yang ada ini pun tak banyak berubah dan tidak akan menjejaskan keseluruhan pasukan Harimau Malaya,” katanya yang juga Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Sebelum ini, Pan Gon mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil ke latihan pusat bermula Jumaat ini, termasuk lima pemain baharu yang kembali tersenarai iaitu Sumareh, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shahrul Saad dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Panggilan kem latihan bermula Jumaat ini adalah persediaan pasukan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di mana Malaysia bakal turun dalam aksi pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Selepas itu, Harimau Malaya akan terbang ke Taiwan untuk aksi kedua berdepan tuan rumah lima hari kemudian dengan baki perlawanan disambung pada Mac depan bertemu Oman.

Mengikut rekod, kali terakhir Sumareh disenaraikan dalam skuad kebangsaan adalah pada September tahun lalu bagi mengharungi Piala Raja Thailand di Chiang Mai, Thailand.

Dalam senarai panggilan terbaharu itu, Pan Gon turut mengikuti saranan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila memanggil tonggak Harimau Selatan, Afiq untuk membantu pasukan kebangsaan meraih keputusan positif kelak.

Untuk rekod, Afiq yang sering membarisi kesebelasan utama JDT pula hanya disenaraikan Pan-gon pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives pada Disember tahun lalu sebelum dia digugurkan daripada skuad kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya