69,654 kampit benih padi diagih ke Kedah, Perlis - Utusan Malaysia

69,654 kampit benih padi diagih ke Kedah, Perlis

69, 654 kampit benih padi diagih ke Kedah, Perlis. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan serta-merta pengagihan 69, 654 kampit Benih Padi Sah (BPS) ke Kedah dan Perlis sekali gus menyelesaikan rugutan pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang tidak dapat memulakan tanaman kerana tiada benih.

Daripada jumlah tersebut, 40,000 kampit dihantar kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk diagihkan kepada pesawah-pesawah di bawah MADA manakala bakinya 29, 654 kampit lagi diedar kepada pesawah bukan bawah MADA.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi mesyuarat jawatankuasa permohonan tambahan kuota benih padi sah bil. 8/2023 bertarikh 17 November.

Datuk Azman Mahmood

Menurut beliau, tindakan drastik itu adalah untuk memastikan bekalan beras putih tempatan mencukupi pada harga terkawal.

“Kita yakin jumlah tambahan kampit benih padi dapat menyelesaikan isu kekurangan bekalan itu dihadapi pesawah terutama di Kedah dan Perlis,” kata beliau di sini semalam.

PESAWAH

Perkembangan tersebut se­kali gus mengesahkan laporan akhbar ini mengenai 90 pesawah dalam kawasan MADA tidak dapat memulakan semaian padi pada musim ini kerana ketiadaan benih.

Susulan masalah tersebut diramalkan 71,000 pesawah berdepan kerugian sehingga RM40 juta semusim jika isu benih padi berlarutan.

Isu lewat ketiadaan benih padi itu juga bakal menyebabkan hasil beras akan merudum antara 30 sehingga 40 peratus kerana pembelian padi di kilang-kilang juga merosot.

Mengulas lanjut, Azman berkata, isu kekurangan benih berlaku ekoran pesawah menggunakan me­lebihi kuantiti di­perlukan sehingga menyebabkan pembaziran.

“Penggunaan berlebihan menyebabkan berlaku peningkatan pengeluaran di peringkat pengilang melebihi biasa sehingga menjejaskan stok bekalan yang sepatutnya diperoleh pesawah tepat pada masanya.

“Kami mengesan penggu­naan benih menjangkau 92,000 tan metrik setahun atau pesawah menggunakan sehingga 12 beg benih (20 kilogram bersamaan satu beg) bagi setiap hektar padi, berbanding keperluan sebenar 75,000 tan metrik setahun,” kata beliau.

Kata Azman, situasi itu memberi implikasi kewangan kerajaan yang perlu menyediakan subsidi sekitar RM95 juta setahun untuk benih padi berbanding RM75 juta atau seba­nyak RM1.03 per kilogram (kg).

BENIH

“Pesawah sepatutnya menggunakan tujuh ke 10 beg benih untuk satu hektar padi tetapi guna sehingga 12 beg.

“Jika tidak mengikut ratio yang betul, ia menjejaskan tanaman kerana akan tumbuh bersama rumput. Jadi kena ikut prosedur betul.

“Justeru pMADA dan agensi lain diharap memberi tunjuk ajar kepada pesawah menggunakan kaedah lebih baik dan cekap tanpa pembaziran benih,” katanya.

Azman berkata, pihaknya melakukan operasi besar-besaran sejak 8 November lalu bagi memantau penjualan benih padi agar tidak ada mana-mana pihak menjual melebihi harga RM45 ditetapkan kerajaan.

Daripada pemeriksaan itu, kata beliau, sebanyak 22 peruncit dikenal pasti menjual melebihi harga siling dan lesen mereka ditarik serta-merta.

Katanya, kerajaan tidak lagi akan menaikkan harga lantai benih padi selepas harga baharu itu dikuatkuasakan 20 Oktober lalu kerana ia boleh membebankan petani selain perlu mengambil kira keseluruhan rantaian terlibat.

Pada masa sama, pihaknya memberi jaminan stok bekalan benih padi mencukupi kerana masih ada bekalan sedang menunggu kelulusan makmal sebelum dikeluarkan.

Syor agar lesen dan menge­luar benih padi diberikan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Azman berkata, pengeluar dalam kalangan GLC ditetapkan mewakili 30 peratus, manakala selebihnya adalah syarikat swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN