Warga emas meninggal dunia, van rempuh kenderaan di lampu isyarat - Utusan Malaysia

Warga emas meninggal dunia, van rempuh kenderaan di lampu isyarat

TANGKAP layar video tular kejadian kemalangan membabitkan lima buah kenderaan yang berlaku di lampu isyarat Jalan Haji Abdul Hamid berhadapan sebuah medan selera di Temiang, Seremban tengah hari tadi.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van yang hilang kawalan lalu merempuh beberapa buah kenderaan dalam kejadian di lampu isyarat di Jalan Haji Abdul Hamid berhadapan sebuah medan selera di Temiang di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Arifai Tarawe berkata, kemalangan berkenaan membabitkan lima buah kenderaan iaitu sebuah van, sebuah lori, dua kereta dan sebuah motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun sedang bergerak terus di lorong kiri dari arah bandar Seremban menuju ke arah Temiang. 

“Apabila tiba di lokasi kejadian, van yang dipandu telah hilang kawalan lalu melanggar beberapa buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat iaitu sebuah motosikal jenis Honda RS yang ditunggang seorang lelaki berusia 62 tahun, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 64 tahun. 

“Akibat pelanggaran, van tersebut jugq telah hilang kawalan lalu terbabas menaiki tembok bahu kiri jalan raya dan melanggar sisi kiri sebuah lori jenis Mitsubishi FE yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Jelas Arifai lagi, akibat pelanggaran itu juga, kenderaan jenis Toyota Vios yang telah dilanggar turut menggelongsor ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang lori yang sama di lokasi kejadian.

Ia menyebabkan lori terlibat turut menggelongsor ke hadapan dan terlanggar sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun.

Menurutnya, akibat pelanggaran, mangsa penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan, luka di bahagian kepala dan telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan lanjut.

“Namun begitu, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di Zon Merah HTJS ketika sedang menerima rawatan. Lain-lain mangsa pula tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu van telah di bawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut. 

“Ujian saringan awal air kencing dan ujian saringan awal kandungan alkohol dalam badan telah dilaksanakan ke atas pemandu van dan mendapati kedua-dua keputusan adalah negatif,” katanya.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhamad Alif Ab Jalil di talian 018-2029479 atau boleh menghubungi IPD Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN