PETALING JAYA: Pas tidak menghalang mana-mana perwakilan membahaskan sebarang isu termasuk tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan sepanjang Muktamar tahunan parti itu hujung minggu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tidak pernah mengehadkan perbahasan kerana parti itu mengamalkan sistem terbuka selagi tidak bercanggah dengan syarak.
Bagaimanapun, kata beliau, isu tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan dijangka tidak menjadi topik utama kerana semua ahli Pas sangat memahami dasar permuafakatan politik bersama rakan-rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
“Keputusan pilihan raya umum dan pilihan raya negeri jelas bahawa rakyat bersama PN. Kami akan terus pertahan janji dan komitmen kepada pengundi.
TOPIK
“Oleh demikian, saya menjangkakan isu ini tidak menjadi topik utama kerana ahli parti memahami dasar permuafakatan politik Pas di dalam PN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau pernah menjemput Pas menganggotai Kerajaan Perpaduan pada tahun lalu, namun parti itu menolak tawaran ketika itu.
Anwar kemudian ketika ketika ditemu bual Time Magazine yang disiarkan secara dalam talian memberi ‘jaminan’ tidak menghalang kerjasama dengan parti berkenaan jika wujud pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, isu Palestin adalah antara topik yang bakal disentuh oleh semua perwakilan termasuk muktamar tiga sayap parti iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda Pas.
Katanya, turut dijangkakan isu pengukuhan muafakat politik, penyatuan ummah, kos sara hidup serta pengukuhan parti menjadi fokus perbahasan perwakilan.
EKONOMI
“Saya jangka ada tiga isu besar. Pertama, isu kos sara hidup dan ekonomi, kedua, isu pemerkasaan parti daripada segi penyediaan barisan kepimpinan dan pelapis akan datang. Ketiga, saya lihat isu nasional iaitu isu yang berlaku di Palestin.
“Saya lihat para perwakilan agak teruja untuk muktamar kali ini lebih-lebih lagi dengan pencapaian kita dalam Pilihan Raya Umum Ke -15 (pru15) dengan memenangi empat negeri. Begitu juga dengan keputusan di Selangor dan negeri lain,” katanya.
Muktamar Tahunan Pas kali ke-69 kali ini akan diadakan di Shah Alam dari 20 hingga 22 Oktober ini setelah kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah pada tahun 2015 iaitu di Stadium Tertutup Kuala Selangor.
Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam menjadi lokasi utama pelaksanaan muktamar bersekali dengan Dewan Ulama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat manakala Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat dan Sidang Assabiqun Pas akan diadakan di Hotel De Palma, Shah Alam.
Muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat bermula pada 18 Oktober dan berakhir pada 19 Oktober manakala Muktamar Dewan Ulama serta Konvensyen Dewan HImpunan Pendukung dan Sidang Assabiqun akan diadakan pada 19 Oktober. – UTUSAN









