PETALING JAYA: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan ada arahan supaya jawatan ‘Top 5’ dalam Pas tidak dipertandingkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69 yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober ini.
Timbalan Presiden Pas itu berkata, dakwaan tersebut tidak benar malah beliau sendiri meminta individu lain dicalonkan bagi menggantikan tempatnya dalam parti.
“Ada pihak menuduh kononnya Pas mengeluarkan arahan agar ‘Top 5’ tidak dipertandingkan. Saya ingin tegaskan bahawa parti tidak pernah menghalang mana-mana kawasan untuk mencalonkan sesiapa sahaja untuk mana-mana jawatan.
“Bahkan saya sewaktu merasmikan Mesyuarat Agong beberapa kawasan, memohon agar mereka mencalonkan orang lain untuk jawatan Timbalan Presiden,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan lima jawatan tertinggi Pas iaitu daripada presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak dipertandingkan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia berpunca daripada hanya ada satu pencalonan sahaja untuk jawatan presiden dan timbalan presiden, manakala daripada empat calon naib presiden terdapat seorang menarik diri.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, jawatan merupakan satu amanah yang perlu dipikul sekiranya dipilih untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
“Berkat kerjasama jamaah insya-Allah jamaah ini akan terus diberkati Allah. Apakah yang mendukacitakan kamu seandainya bebanan yang kamu pikul diangkat dari pundakmu,” katanya. – UTUSAN