JOHOR BAHRU: Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menyerahkan kepada Tan Sri M. Ramasamy sama ada mahu menarik balik petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat yang difailkannya atau sebaliknya.
Beliau telah memberikan nasihat dan buah fikirannya berkaitan petisyen tersebut.
“Di pihak saya, sudah memberitahu bahawa setakat ini kita menyokong kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kita tidak ada percanggahan.
“Saya telah memberitahu kalau kita menang pun, Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan. Saya telah pun memberi nasihat, tengoklah apa yang akan berlaku. Saya ingat dia akan akur dengan nasihat yang diberikan. Jadi, terpulanglah,” katanya selepas merasmikan Konvensyen MIC Negeri Johor di Dewan Serbaguna, Taman Bukit Indah, di sini hari ini.
Vigneswaran berkata demikian ketika ditanya mengenai terdapat khabar angin Ramasamy akan menarik balik petisyen berkaitan kerusi Parlimen Segamat.
Pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan calon BN itu supaya petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk satu perbicaraan penuh.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Zabariah Mohd. Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan telah memerintahkan petisyen itu didengar di hadapan hakim lain.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 3 April lalu yang menolak petisyen rayuan Ramasamy selepas menerima bantahan awal dibangkitkan responden.
Responden yang dinamakan dalam petisyen itu ialah Ahli Parlimen Segamat, R.Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Zabariah dilaporkan berkata, petisyen itu dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar isu sama ada bahan kempen melanggar undang-undang pilihan raya dan dakwaan berlakunya sogokan.
Pada PRU15, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi, mengalahkan Ramasamy, P. Poobalan daripada Perikatan Nasional dan Syed Hairoul Faizey daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – UTUSAN