IPOH: Rakyat Palestin yang menetap di Malaysia bimbang keselamatan ahli keluarga mereka yang berada di Gaza berikutan terputus hubungan sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharef A M Abu Shamalla berkata, situasi itu susulan tindakan Israel melakukan kepungan menyeluruh ke atas penduduk Gaza termasuk memutuskan bekalan elektrik, makanan dan air di kawasan berkenaan.
Menurutnya, walaupun sudah 11 tahun menetap di Malaysia kerana melanjutkan pengajian dan bekerja di sini, ahli keluarganya masih tinggal di negara tersebut.
“Sewaktu mula peperangan, kami masih dapat berhubungan dengan keluarga tetapi kini sukar untuk menghubungi mereka.
“Bukan itu sahaja, peperangan yang bermula sejak tahun 1948 ini, banyak mengorbankan ahli keluarga saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Sharef berkata, pemergian sahabatnya, Mohammed J H Alzaanin dan isteri berserta keluarga besar merupakan satu berita duka yang mengejutkan.
“Sebelum beliau pulang ke Gaza, saya ada bertanya, mengapa nak pulang ke Gaza?
“Beliau cuma menjawab, saya nak syahid,” katanya.
Dalam insiden itu, anak lelaki Mohammed J H Alzaanin selamat namun cedera dan kini dirawat di sebuah hospital di Gaza.
Pasangan suami isteri yang juga siswazah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu bersama empat anak mereka maut akibat serangan bom rejim zionis di Gaza, Palestin, baru-baru ini.
Mohammed J H Alzaanin, baru saja selesai menjalani sesi viva di USIM pada 5 Julai lalu. – UTUSAN










