Terdedah lama di ruang terbuka antara punca strok haba

Terdedah lama di ruang terbuka antara punca strok haba

Cuaca panas ketika ini menyebabkan bil melambung akibat penggunaan elektrik yang tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan terhadap cuaca panas melampau dan berpanjangan antara punca berlakunya strok haba.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kolej Universiti MAIWP Antarabangsa (UCMI), Dr. Azizi Ayob berkata, keadaan ini berlaku apabila suhu mencapai kepanasan melampau dan gagal menstabilkan suhu badan.

Katanya, gejala itu sering berlaku kepada mereka yang terdedah secara fizikal di ruang terbuka pada waktu siang untuk jangka masa yang lama.

“Ia termasuk pekerja di lapangan dalam pelbagai industri dan mereka yang terlibat dalam aktiviti sukan

“Keadaan cuaca panas lantaran peralihan monsun juga boleh mengakibatkan risiko strok haba sekiranya tiada pemantauan yang berterusan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, 10 pelatih mengalami simptom strok haba ketika menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi Johor sehingga mengakibatkan tiga daripada mereka terpaksa diberikan rawatan rapi.

Seorang daripada tiga penuntut itu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) dilaporkan meninggal dunia, malam kemarin manakala dua lagi dalam keadaan stabil.

Sementara itu, pakar perubatan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Komuniti, Dr. Zawiah Mansor berkata, strok haba adalah spektrum penyakit berkaitan haba yang paling ekstrem dalam penyakit haba seperti edema haba, ruam haba, pitam haba, kekejangan haba dan kelesuan haba.

Katanya, strok haba terbahagi kepada dua jenis iaitu klasik dan exertional yang dicirikan oleh simptom perpeluhan.

“Bagi strok haba klasik, persekitaran memainkan peranan yang besar dalam memastikan kebolehan seseorang untuk membebaskan haba.

“Exertional pula, penghasilan haba intrinsik melalui dalaman yang adalah faktor utama berlakunya strok haba. Bagaimanapun, kedua-dua jenis strok haba ini terjadi akibat kegagalan mekanisme termoregulasi untuk membebaskan haba yang dihasilkan atau diserap oleh badan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN