PASIR PUTEH: Pengkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) yang beroperasi sejak tahun 2014 lalu menggunakan 95 peratus tenaga kerja tempatan dalam menggerakan operasi di kawasan berkenaan.
Pengurus Besarnya Nur Hasmin Kamaruzzaman, kesemua tenaga kerja berasal dari Kota Bharu dan kawasan sekitar jajahan ini yang meliputi pelbagai jawatan yang bermula di peringkat pengurusan hingga kepada operator.
Menurutnya, sehingga kini TBSB memiliki 280 kakitangan dan tidak termasuk jumlah tenaga sumber kerja di lain-lain syarikat yang beroperasi seperti Hess Exploration dan Production Malaysia B.V, Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited, Cari Gali Hess Operating Company Sdn. Bhd, dan Cari Gali-PTTEPI Operating Company Sdn. Bhd.
“TBSB masih dalam fasa melengkapkan eko-sistem lokasi yang berupaya membantu dan merancakkan sokongan pembangunan industri minyak serta gas pesisir. Projek ini sememangnya menjadi mercu tanda kepada penduduk setempat terutama peniaga restoran, penginapan dan lain-lain yang turut mendapat manfaat secara tidak langsung.
“Perkembangan postif turut menunjukkan kemajuan pembangunan TBSB melalui peningkatan kontraktor sokongan dan agen yang mencecah 40 syarikat yang turut menjadi nilai tambah menyediakan peluang pekerjaan berskala rendah, sederhana dan tinggi kepada rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran BSL Containers Sdn. Bhd di sini hari ini.
Nur Hasmin memberitahu, pelan induk pembangunan TBSB merangkumi lima fasa secara berperingkat bermula tahun 2014 hingga tahun 2039 (25 tahun) melibatkan kawasan seluas 259.9 hektar dirangka secara strategik berdasarkan permintaan syarikat petroleum, kontraktor sokongan dan pemain industri minyak dan gas (MIGAS) tempatan serta antarabangsa.
Katanya, TBSB juga merancang pembangunan perniagaan baharu iaitu pelabuhan komersial sebagai satu cabang perniagaan yang menawarkan peluang tenaga kerja dan pengusaha komoditi komersial yang turut berpotensi menjayakan keberhasilan yang tinggi.
“Setakat ini fasiliti TBSB adalah dalam 97 peratus diaktifkan selain menerima kemasukan kapal (vesel) sebanyak 1,200 buah setahun dan pada tahun ini bermula Januari hingga Oktober mencatatkan persinggahan dan keluar masuk vesel berkait industri pembekalan minyak dan gas melebih 800 buah,” ujarnya.-UTUSAN