Suami isteri cuba dapatkan pasport untuk kanak-kanak warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Suami isteri cuba dapatkan pasport untuk kanak-kanak warga asing ditahan

PASANGAN suami isteri ditahan kerana disyaki cuba mendapatkan pasport bagi seorang kanak-kanak lelaki warga asing di Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen berjaya mematahkan cubaan pasangan suami isteri mendapatkan pasport Malaysia menerusi pemalsuan identiti di Kulai, pukul 10 pagi, semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, cubaan itu dikesan pegawai imigresen yang bertugas di Kaunter Penerimaan apabila pasangan tersebut menggunakan dokumen milik anak kandung mereka untuk memohon pasport bagi seorang kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka.

“Pasangan itu turut dipercayai menerima sejumlah bayaran daripada seorang individu yang masih bebas untuk berbuat demikian.

“Soal jawab dengan kanak-kanak lelaki warga asing tersebut mencurigakan apabila dia tidak dapat menjawab soalan diberi, sebaliknya pasangan suami isteri terbabit yang menjawab soalan, sekali gus menimbulkan rasa curiga.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kanak-kanak lelaki warga asing itu tidak bersekolah di sekolah seperti yang dinyatakan pasangan tersebut. Dia juga tidak boleh berbahasa Melayu dan hanya menjawab soalan apabila ditanya dalam Bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baharuddin berkata, pihaknya kemudian menahan pasangan berkenaan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(A) Akta Pasport 1966.

“Kita menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan janji manis pihak yang menjanjikan pulangan lumayan dengan menjual sebarang dokumen diri sama ada untuk tujuan eksploitasi dan sebagainya.

“Sekiranya didapati bersalah, mereka bakal berdepan dengan hukuman berat,” katanya sambil meminta kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN