Strok haba: Dua masih dirawat di ICU, keadaan stabil - Utusan Malaysia

Strok haba: Dua masih dirawat di ICU, keadaan stabil

Emil Syahid Iskandar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua penuntut yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat mengalami strok haba ketika menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) kini dalam keadaan stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, walau bagaimanapun, kedua-duanya masih ditempatkan di wad berkenaan untuk pemantauan rapi.

Menurutnya, seorang lagi penuntut, Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital sama, malam kelmarin.

“Ketiga-tiga mangsa merupakan antara 10 pelatih yang dilaporkan mengalami simptom strok haba ketika sedang menjalani latihan. Sementara itu tujuh yang lain dirawat di wad biasa Hospital Kota Tinggi,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan 10 penuntut itu mengalami simptom strok haba sehingga mengakibatkan tiga daripada mereka terpaksa diberikan rawatan rapi selepas terlibat dalam latihan di lapang sasar Pulada.

Difahamkan, Allahyarham Emil Syahid mengalami pitam dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan Jalan Laju Kursus Tempur Pegawai Muda Tentera Darat Siri 3/2023  di kem berkenaan.

Sementara itu, jenazah beliau selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Tasik Puteri, Rawang, Selangor, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN