Shahrunizam minta doakan dapat keputusan baik - Utusan Malaysia

Shahrunizam minta doakan dapat keputusan baik

RIFA NUR HANA (dua dari kanan) bersama ayah dan ibunya menunjukkan gambarnya dengan arwah Shahrunizam ketika ditemui di Taman Sri Gading, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Minta didoakan supaya mendapat keputusan yang baik dalam ujian percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah permintaan terakhir Shahrunizam Mohd. Shamsul, 17, sebelum terlibat dalam kemalangan awal pagi semalam. 

Kakaknya, Rifa Nur Hana, 20, berkata, pada malam sebelum kejadian, adiknya sempat meminta supaya mendoakannya agar mendapat keputusan yang baik dalam percubaan peperiksaan SPM pada minggu depan.

Mereka kerap berhubung untuk bertanya khabar serta mengulang kaji pelajaran walaupun tinggal berjauhan kerana sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Kami sangat rapat, seperti biasa sering bergurau, adik juga ada meminta saya untuk balik kerana rindu.

“Bila akak nak balik, tak rindu abang ke? Abang juga nak akak doakan saya dapat keputusan yang baik dalam percubaan (SPM) minggu depan nanti, itulah antara perbualan terakhir kami,” katanya.

Sementara itu, ibu Shahrunizam, Siti Shalwani Kamaruddin, 42, memberitahu, arwah yang juga anak kedua daripada tiga beradik mesra dengan panggilan abang dan  ringan tulang membantu di gerai selepas waktu sekolah.

“Suami, Mohd. Shamsul Mohamed, 47, ada buka gerai  pisang goreng tidak jauh dari rumah. Abang akan tolong di gerai dan kerap bantu saya kupas kulit kentang untuk buat inti karipap.

“Abang cukup minat seni dan sentiasa hadir ke sekolah. Dia ada beritahu cita-citanya hendak kerja di Dubai,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Gading, dekat sini hari ini. 

Dalam kejadian di Kilometer  13.5, Jalan Batu Pahat-Kluang pada pukul 7.20 pagi semalam, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lori yang membuat pusingan U. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN