PORT DICKSON: Belum ada sebarang perkembangan mengenai tuntutan penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan mengenai perkara itu terletak di luar bidang kuasa kementerian sehinggalah ia diputuskan oleh mahkamah.
Jelas beliau, ia disebabkan terdapat kes mengenai yang sudah pun dibawa ke mahkamah.
Menurut Mohamad, di pihak kementerian memang sudah terdapat usul dan juga cadangan bagi isu penyelarasan pencen tersebut bagi diketengahkan kepada pihak kerajaan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Saya tidak boleh mahu kata setakat mana (isu penyelarasan pencen) dan kami tidak boleh kata apa rancangan, dan apa yang kita buat sehinggalah keputusan mahkamah nanti dibuat.
“Kami akan membuat apa juga rancangan, apa juga keputusan berasaskan keputusan mahkamah (isu penyelarasan pencen),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di sini, hari ini.
Jelas Mohamad lagi, isu penyelarasan pencen tentera tersebut membabitkan individu yang menamatkan perkhidmatan dalam ATM pada tahun 2013 dan tahun sebelumnya.
“Kes mahkamah terpulang lah kepada mahkamah untuk memutuskan bilakah mahu didengar dan bilakah mereka mahu putuskan kes ini. Ini di luar bidang kuasa kami,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan akan meneliti dan menilai semula perkara berkenaan dengan baik dan sebarang kenyataan kepada isu itu tidak akan diberikan buat masa ini kerana dibimbangi akan bersifat subjudis kepada mahkamah.
Terdahulu, seramai 536 orang terdiri daripada veteran ATM, balu serta wakil waris di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka telah menerima penerima PJM pada majlis tersebut.
Penganugerahan PJM tersebut telah dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bermula 3 Mac 2004 dan pingat ia merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan mereka semasa berhadapan dengan ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu.
Sehingga hari ini, seramai 39,720 warga veteran ATM telah menerima pingat berkenaan,
Dalam pada itu, Mohamad berkata, dianggarkan 80,000 vateren tentera layak menerima pingat berkenaan dan pihaknya menyasarkan sebanyak 10,000 penerima dapat disampaikan pingat berkenaan dalam tempoh setahun.-UTUSAN.










