Tindakan PBT saman kenderaan hadapan rumah hanya tambah beban rakyat

Tindakan PBT saman kenderaan hadapan rumah hanya tambah beban rakyat

KEPUTUSAN MBPG maju menyaman pemilik kenderaan yang diletak di hadapan rumah disifatkan tidak prihatin dan menambah beban rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini yang mahu menyaman pemilik kenderaan yang diletak di hadapan rumah bukan sahaja tidak sensitif, malah hanya menambah beban rakyat.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, langkah itu tidak sesuai dengan situasi ekonomi semasa, khususnya ketika rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat.

Malah, tegasnya, keputusan itu juga seolah-olah memberi peluang kepada pembangkang untuk mengkritik pentadbiran kerajaan.

“Saya tak boleh hadam dengan cara mentaliti segelintir PBT yang tak cakna dengan kehidupan rakyat. Ketika ramai berdepan dengan peningkatan harga barang dan kos sara hidup, apa pula PBT yang nak cari pendapatan dengan cara nak mudah. Nak saman kenderaan yang ‘parking’ depan rumah sendiri atau rumah jiran. Apa bendalah mentaliti terdesak PBT yang tak prihatin langsung dengan keadaan semasa rakyat. 

“Ya betul, memang ada undang-undang kecil PBT yang macam itu tapi tak perlulah nak laksanakan dalam situasi sekarang ini. Apa tujuan sebenarnya, nak cari pendapatan ke, nak dapat duit cara mudah. Cubalah PBT cari sumber pendapatan dengan cara lain yang tak menyusahkan rakyat terutamanya golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, tular satu notis pemberitahuan daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.

Dalam notis pemberitahuan itu, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 332), Seksyen 46 (1) (9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Undang-Undang kecil vandalisme (Majlis Bandaraya Pasir Gudang) 2011 dan Perintah 17(1) dan 17(2) Perintah Lalulintas Jalan (peruntukan mengenai tempat letak kereta) Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang 2001. 

Pihak yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan kompaun dengan kadar maksimum kompaun RM500, manakala di bawah Undang-undang Kecil Jalan, Parit dan Bangunan (mengkompaun kesalahan-kesalahan MPPG) 2011 pula dengan kadar maksimum kompaun RM2,000.

Sehubungan itu, Abdul Halim meminta PBT untuk bersikap lebih rasional dan bukan ‘menekan’ rakyat dengan melaksanakan tindakan menyaman pemilik kenderaan yang diletakkan di hadapan kediaman sendiri.

“Janganlah dibebankan rakyat dengan penguatkuasaan undang-undang yang remeh dan boleh diselesaikan dengan cara baik lain, bukan dengan cara asyik nak saman atau kompaun saja. PBT jangan jadi agensi yang boleh mencalarkan imej kerajaan dan ebagai agensi kerajaan jangan beri bola tanggung kepada pembangkang untuk jadikan perkara itu satu modal politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya