Rantai emas RM58,000 lesap di Mentakab - Utusan Malaysia

Rantai emas RM58,000 lesap di Mentakab

TANGKAP layar video memaparkan seorang lelaki membawa lari seutas rantai emas di sebuah kedai emas di Mentakab, Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an melarikan seutas rantai emas bernilai RM58,000 di sebuah kedai emas di Jalan Temerloh-Mentakab di bandar Mentakab di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, suspek berurusan dengan seorang jurujual di situ kononnya untuk membeli barang kemas kira-kira pukul 1.15 petang.

“Ketika mula berurusan, suspek mencuba seutas rantai leher berharga RM20,000 sebelum meminta jurujual berkenaan mengeluarkan seutas rantai leher lagi yang lebih besar.

“Atas permintaan suspek, jurujual mengeluarkan seutas rantai leher emas seberat 195.35 gram berharga RM58,000 dan diserahkan kepada suspek,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini hari ini.

Menurut Mazlan lagi, suspek lelaki keturunan India itu kemudiannya menyerahkan semula kedua-dua utas rantai sebelum meminta pengadu menyerahkan semula rantai leher berharga RM58,000.

Katanya, sebaik pengadu menyerahkan barang kemas yang berharga itu, suspek mengambil rantai leher berkenaan dan terus berlari keluar dari kedai.

“Jurujual berkenaan cuba mengejar dan mendapati suspek sudah beredar dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda City menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Beliau berkata, semasa kejadian, kedai tersebut tidak mempunyai pengawal keselamatan, manakala terdapat beberapa orang pelanggan lain berurusan di situ.

Ujarnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya