Polis siasat peranan pemegang saham i-Serve

Polis siasat peranan pemegang saham i-Serve

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan polis kini tertumpu kepada penglibatan pemegang saham perniagaan i-Serve dengan individu bergelar Datuk berhubung perniagaan rangkaian syarikat menggunakan hasil pengubahan wang haram .

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap lelaki berusia 40-an itu termasuk peranannya dalam perniagaan tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai berkomplot dengan dalang utama dalam perniagaan i-Serve serta rangkaian perniagaan dalam syarikat itu sejak 2018 disyaki hasil wang pelaburan.

“Siasatan kini tertumpu kepada penelitian dokumen transaksi membabitkan perniagaan i-Serve.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan akan membuat tangkapan lain berkaitan kes ini dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ramli berkata, setakat ini pihaknya membekukan sebanyak 15 akaun bank bernilai kira-kira RM5 juta selain merampas beberapa dokumen dan barangan milik suspek.

Beliau turut memohon mana-mana individu yang melabur dalam i-Serve untuk tampil membuat laporan polis berkaitan jumlah pelaburan mereka.

“Ini bagi membantu polis dalam siasatan menyeluruh terhadap i-Serve, QA Partnership, Trillion Cove dan MyAirlines.

“Laporan ini adalah penting untuk membantu siasatan polis selanjutnya,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang pemegang saham i-Serve direman lima hari selepas ditahan di rumahnya di Bangsar dekat sini pada kelmarin.

Penahanan lelaki itu menjadikan tangkapan kes tersebut seramai empat orang termasuk pengasas bersama syarikat tambang murah.

Ramli dilaporkan berkata, setakat ini, pihaknya merampas 12 buah kenderaan dari dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu CPU dan 10 barang kemas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN