PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan pegawai dan anggota di setiap pintu sempadan negara bagi memburu pesalah jalan raya melibatkan warga asing dan mengelakkan mereka meninggal negara ini tanpa menjelaskan saman yang dikenakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nasri Omar berkata, Operasi Saman Tertunggak Warga Asing menumpukan usaha di kawasan pintu sempadan.
Namun, katanya, usaha mengesan warga asing yang mempunyai tunggakan saman turut dilakukan JSPT melalui operasi sekatan jalan raya di seluruh negara.
“Daripada 23,247 saman yang dianggarkan bernilai RM6.97 juta bagi tahun 2022 hingga Ogos lalu, kira-kira 3,881 notis saman yang telah diselesaikan.
“Pelbagai usaha dilakukan antaranya menugaskan pegawai dan anggota trafik di pintu sempadan negara bagi membuat pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya melibatkan warga asing.
“Sekiranya kita (JSPT) dapat mengesan, mereka (pesalah jalan raya) akan diberikan amaran bagi melangsaikan tunggakan saman,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Nasri berkata, selain operasi, pesalah jalan raya warga asing juga boleh dikesan melalui pemeriksaan nombor pendaftaran kereta dan maklumat pasport di kaunter Jabatan Imigresen.
“Malah, tunggakan saman juga boleh dilangsaikan di pintu masuk (Imigresen) selain aplikasi MyBayar PDRM,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 23,247 saman trafik kepada warga asing sepanjang tahun 2022 hingga Ogos lalu.
Katanya, bagi tahun 2022, sebanyak 18,385 saman dikeluarkan membabitkan 15,221 saman K170A (notis di kenderaan) dan 3,164 saman di bawah K257 iaitu samana yang diserahkan terus kepada pemandu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, hanya 2,178 saman telah diselesaikan mereka.
“Bagi tahun ini setakat Ogos, terdapat 4,862 saman dikeluarkan membabitkan saman K170A (2,720) dan K257 (2,142) di mana 1,703 telah diselesaikan,” katanya. – UTUSAN







