Pertemuan pertama dengan mentua ‘disambut’ bom - Utusan Malaysia

Pertemuan pertama dengan mentua ‘disambut’ bom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang wanita Malaysia menceritakan detik paling menakutkannya terde­ngar bunyi bom ketika berada di rumah ibu mentuanya di Khan Yunis, Semenanjung Gaza pada Sabtu lalu.

Nurul Ain Haron, 37, dari Keramat, Kuala Lumpur ketika ini terkandas di Gaza ketika pertama kali bertemu mentuanya sejak enam tahun berkahwin dengan lelaki Palestin, Moha­med Adnan Shaat.

“Bunyi bom pukul 7 pagi (waktu tempatan) itu masih menghantuinya lebih-lebih lagi letupan itu dalam jarak kira-kira 300 meter dari rumah mentua,” cerita Nurul Ain ketika dihubu­ngi semalam.

Nurul Ain berkata, pada mulanya dia tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan hanya mengetahui itu adalah bunyi bom selepas membaca maklumat peperangan melalui berita tempatan.

“Sejak itu, kami semua dihujani serangan bom dan kali terakhir dibom adalah pada jam 9 pagi tadi (semalam). Setiap kali dengar bunyi roket jatuh ke sasaran rasa seperti nyawa tercabut sekejap.

MUSNAH

“Kawasan di sekeliling rumah mentua saya boleh dikatakan musnah kerana menjadi sasaran serangan roket Israel, bahkan Masjid Muhammad Al-Amin yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia yang dibedil Ahad lalu pun tak sampai lima minit dari rumah kami,” katanya.

Nurul Ain dihubungi Utusan Malaysia melalui aplikasi WhatsApp walaupun terputus-putus kerana liputan internet di Gaza tidak stabil.

Menurut wanita itu, dia dan suaminya tiba di Khan Yunis pada 1 Oktober lalu selepas hampir sembilan tahun suaminya tidak pulang ke tanah air kerana bekerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kami dijangka keluar melalui sempadan Rafah menuju ke Mesir pada 25 Oktober ini dan berlepas ke UAE pada hari berikutnya, namun sejak serangan dilancarkan, kami terkandas tanpa bekalan air, elektrik sejak Selasa lalu.

“Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan sudah menghubungi kami semalam untuk dibawa keluar melalui sempadan Mesir, namun buat masa ini kami terkandas di sini kerana sempadan Rafah sudah dibom oleh Israel. Jadi sebarang pergerakan keluar masuk ke Gaza tak boleh dilakukan,” katanya.

Nurul Ain berkata, keadaan penduduk di sekitar Khan Yunis ketika ini sangat genting kerana kebanyakan keluarga di sini sudah terputus bukan saja bekalan air dan elektrik malah makanan.

KELUAR

Menurutnya, dia dan suaminya bercadang keluar mendapatkan makanan untuk dihulurkan kepada jiran-jiran hasil sumbangan saudara-mara dan rakyat Malaysia kepadanya sejak dua hari lalu.

“Hari ini (semalam) keadaan nampak agak reda, jadi saya dan suami bercadang untuk keluar membeli makanan memandangkan pasar tani dan pasar raya masih beroperasi walaupun ketiadaan bekalan elektrik,” katanya.

Menurutnya, jumlah pen­duduk kejiranan di sekitar Khan Yunis meningkat mendadak apabila penduduk di sekitar menumpangkan ahli keluarga dan saudara mara yang kehilangan tempat tinggal akibat dibedil Israel hingga menyebabkan ada yang kehabisan makanan.

Katanya, dia dan suaminya kini hanya bergantung kepada bateri motor atau kereta untuk mengecas power bank dan telefon bimbitnya supaya tidak terputus hubungan dari dunia luar.

“Dua hari lepas kami dah cas semua power bank sampai penuh namun ini tinggal nyawa-nyawa ikan. Jadi kami sekarang bergantung kepada bateri motor atau kereta untuk pastikan tele­fon bimbit kami terus hidup untuk dihubungi.

“Kami sendiri tak pasti sampai bila peperangan ini akan berlarutan tapi harapnya ia pulih segera. Hari-hari saya berdoa kepada Allah SWT supaya selamat semua daripada pepera­ngan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN