BACHOK: Seorang anggota polis cedera selepas dirempuh penunggang motosikal yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Pantai Irama, dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang, anggota polis berkenaan mengalami kecederaan di bahagian lutut, kaki dan badan akibat rempuhan tersebut.
Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, semasa menjalankan tugas anggota terlibat telah melihat sebuah motosikal jenis Honda
EX5 ditunggang oleh seorang lelaki berusia 24 tahun.
“Pada mulanya, suspek telah memperlahankan motosikal terus dan kemudian memecut laju sehingga merempuh anggota yang bertugas.
“Suspek telah bertindak cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan polis selepas berlaku pergelutan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, pemeriksaan lanjut keatas suspek tidak menjumpai barangan salah dan semakan mendapati lelaki berkenaan tiada rekod jenayah.
Katanya, siasatan mendapati suspek cuba melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandu.
“Suspek bersama motosikalnya telah tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk tindakan lanjut.
“Suspek direman selama hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat dibawah Seksyen 353/186 Kanun Keseksaan yang boleh di penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.-UTUSAN