PETALING JAYA: Peniaga di medan selera di Lembah Klang bimbang dengan kenaikan harga hampir semua jenis barang selain beberapa barang tiada stok.
Kenaikan bahan mentah menyebabkan, peniaga terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman dalam lingkungan lima hingga 10 peratus daripada harga asal.
Antaranya, ada peniaga menaikkan harga nasi kosong daripada RM1 kepada RM1.50 sebungkus, ayam goreng daripada RM3 kepada RM4 dan Milo ais daripada RM2.50 kepada RM3 sebungkus.
Peniaga makanan di sebuah medan selera di sini, Sarina Saleh, 45, berkata, dia sangat terkesan dengan kenaikan harga barang yang mendadak ketika ini seterusnya menyebabkan peningkatan kos modal pembelian barang harian.
Katanya, dengan tiada perubahan gaji untuk orang ramai tetapi harga barang terus melonjak, peniaga turut terkesan kerana jualan kurang sambutan.
“Saya mahu naikkan harga lebih-lebih pun tidak boleh, kesian pada pembeli yang turut tersepit dalam isu ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi peniaga medan selera, K. Singam, 61, berkata, akses kepada stok barangan runcit terutama minyak, telur dan gula kerap terhad lebih-lebih lagi apabila diperlukan dalam kuantiti yang banyak.
“Pembekal juga ambil kesempatan dengan mengutamakan kenalan berbanding pembeli lain, ada yang beli sampai 30 papan telur untuk disimpan sebagai stok sendiri sehingga tiada untuk kami,” katanya.
Menurutnya, pembelian secara harian perlu didapati dalam kuantiti borong, tetapi dengan pemborong yang kehabisan stok, dia terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih di kedai-kedai runcit biasa dengan harga yang lebih tinggi.
“Kalau dulu, kita boleh dapat semua barang dengan RM100, tapi sekarang walaupun kuantiti barang sama, harga boleh naik sehingga RM150,” katanya.
“Saya berharap kerajaan dapat mengambil langkah berkesan dalam menstabilkan semula harga barangan seperti yang dijanjikan dan bukannya sekadar kata-kata kosong,” katanya. – UTUSAN










