Pendidikan TVET di sekolah integriti penjara

Pendidikan TVET di sekolah integriti penjara

FADHLINA Sidek mengesat air mata ketika menyantuni penghuni pada Program Hijrah Kasih 13 Tahun 2023 di Sekolah Integriti, Pusat Koreksional Puncak Alam, Selangor semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang memperkenalkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di semua 11 sekolah integriti Jabatan Penjara Malaysia di seluruh negara.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penambahan program TVET di sekolah berkenaan mempunyai prospek masa depan lebih cerah yang mampu memberi nilai tambah dan me­ningkatkan produktiviti pelajarnya.

“Namun, cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kementerian terlebih dulu selepas ini.

“Hasil perbincangan di pe­ringkat KPM itu kemudian akan dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi memperluaskan TVET di sekolah integriti ini,” katanya selepas merasmikan Penutupan Program Hijrah Kasih Kali ke-13 di Sekolah Integriti Pusat Korek­sional Puncak Alam, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengakui terdapat isu kekura­ngan guru di sekolah integriti namun keadaan itu tidak kritikal.

“Kementerian sentiasa berusaha memastikan masalah kekurangan guru di sekolah berkenaan dapat diatasi segera.

“Sebagai contoh di Sungai Petani (sekolah integriti), terdapat kekurangan guru dan kita terus melakukan temuduga bagi pengambilan itu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP),” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, beliau turut berpuas hati dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi seluruh sekolah integriti tersebut.

“Pada tahun lalu, seramai 86 pelajar sekolah itu yang menduduki SPM meraih pencapaian lulus 100 peratus dengan keputusan minimum 5A dan maksimum 7A.

“Kita berharap kejayaan ini dapat diterjemahkan dalam peperiksaan akan datang dengan tumpuan kepada pengupayaan guru, latihan dan penghuni­nya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×