Pemilik haiwan dinasihat dapatkan suntikan vaksin rabies - Utusan Malaysia

Pemilik haiwan dinasihat dapatkan suntikan vaksin rabies

LUKANISMAN AWANG SAUNI merasmikan Karnival Sukan Kebangsaan Kementerian Kesihatan Sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera 2023 di Stadium Mount Austin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan menasihati pemilik bagi memastikan haiwan peliharaan mereka diberikan suntikan rabies.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu sebagai usaha pencegahan bagi memastikan penyakit berkenaan terus terkawal di negara ini.

Menurutnya, keadaan rabies di Sarawak ketika ini agak membimbangkan dan boleh dianggap sebagai wabak.

“Situasi rabies di Semenanjung terkawal. Sejak 2020 hingga 2023 hanya terdapat tiga kes direkodkan di Selangor, namun di Sarawa lebih kritikal, sejak 2020 hingga 2023 terdapat 75 kes direkodkan dan dalam tahun ini sahaja, terdapat 17 kes baharu dengan 15 kematian direkodkan,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Kebangsaan Kementerian Kesihatan Sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di Stadium Mount Austin, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohtar Pungut.

Lukanisman memberitahu, langkah-langkah pencegahan telah dijalankan kerajaan negeri Sarawak termasuk menerusi Jabatan Veterinar yang menjalankan program suntikan vaksinasi terhadap haiwan peliharaan penduduk.

“Difahamkan Jabatan Veterinar dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) ada membuka kaunter dan pemilik haiwan peliharaan boleh datang dan mendaftarkan haiwan mereka untuk mendapatkan suntikan.

“Bagi haiwan liar pula, suntikan vaksinasi akan dibuat apabila pihak berkenaan menerima aduan. Ini penting kerana anjing khususnya bergerak dalam kumpulan dan sering masuk ke kawasan kediaman.

“Kita bimbang mereka akan menyerang dan menggigit, khususnya golongan warga emas dan kanak-kanak. Jadi, usaha pencegahan rabies perlu dibuat secara teratur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN