Pelangai: UMNO, BN jangan terlalu selesa - Yahya - Utusan Malaysia

Pelangai: UMNO, BN jangan terlalu selesa – Yahya

YAHYA JAAFAR melihat hasil seni yang dipamerkan pada Pameran dan Bicara Seni di pusat beli-belah Komtar JBCC, di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang, semalam.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, walaupun menang, namun segelintir para pengundi kawasan Felda di DUN berkenaan dilihat telah beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Justeru, UMNO perlu melakukan ‘post mortem’ bagi mengembalikan sepenuhnya sokongan golongan itu kepada kerajaan sedia ada.

“Kita memang jangka akan menang di sana kerana itu merupakan kubu kuat UMNO sejak beberapa penggal lalu termasuk pernah disandang oleh bekas Menteri Besar Pahang. Jadi, susah untuk pembangkang tembusi.

“Namun begitu, secara keseluruhan memang BN menang dan jumlah undi diterima juga meningkat, tetapi kita perlu lihat beberapa peti undi yang tidak memihak kita termasuk di kawasan Felda.

“Ini menimbulkan persoalan mengapa kita kehilangan sokongan daripada pengundi golongan peneroka, apakah bantuan dan sokongan diberikan selama ini tidak mencukupi kerana kita tahu kerajaan khususnya BN dah banyak bantu masyarakat Felda selama ini,” katanya ditemui selepas merasmikan Pameran dan Bicara Seni anjuran Creative Art Solution dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp).

Yang turut hadir, Pengurus Besar Yayasan JCorp, Wan Su Ali; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin dan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim.

Yahya yang juga Ahli Majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut memberitahu, kemenangan itu secara tidak langsung turut membuktikan bahawa pengundi Melayu termasuk di kawasan luar bandar masih menyokong perjuangan UMNO dan BN dalam kerajaan perpaduan.

Dalam PRK DUN Pelangai semalam, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan menewaskan calon PN, Kasim Samat dan calon  Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli dengan majoriti 2,949 undi.

Amizar memperoleh 7,324 undi, manakala Kasim dan Haslihelmy, masing-masing mendapat 4,375 dan 47 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN