Pekerja sambilan harian mengaku salah terima suapan RM9,700 - Utusan Malaysia

Pekerja sambilan harian mengaku salah terima suapan RM9,700

TERTUDUH, Rozairi Ismail (kanan) dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuantan, selepas mengaku bersalah atas 15 pertuduhan menerima suapan. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pekerja sambilan harian (PSH) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini bagi 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM9,700.

Tertuduh, Rozairi Ismail, 33, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rozaimi yang bertugas di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, didakwa menerima suapan wang tunai antara RM200 hingga RM3,000 daripada dua individu berbeza yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Perbuatan tersebut dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Bandar Pusat Jengka, Maran, antara 24 Julai 2020 hingga 2 Januari 2021.

Dalam pada itu juga, tertuduh turut didakwa menerima suapan bagi memberikan maklumat awal berkaitan dengan projek-projek di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Tertuduh juga didakwa gagal melaporkan pemberian sogokan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama.

Tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zahida Muhammad Ruzi dan Pegawai Pendawaraya SPRM, Ikhwan Ikhsan Jalaluddin.

Pihak pendakwaan meminta agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diminta melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Selain berdepan 15 pertuduhan terbabit, tertuduh juga difahamkan turut berhadapan lagi satu pertuduhan sama yang akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Nur Zahida meminta mahkamah agar pertuduhan tersebut dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuantan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd. Shuhairil Ziqrul Sapi, meminta agar ikat jamin dikurangkan berikutan hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan.

Mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM13,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara tempatan.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri setiap bulan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bermula Oktober ini selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 29 November untuk keputusan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya