PBB ‘sudah dibeli’ Israel, Palestin terus ditindas - Utusan Malaysia

PBB ‘sudah dibeli’ Israel, Palestin terus ditindas

Penduduk Palestin memeriksa bangunan yang musnah akibat serangan udara tentera Israel di kawasan al-Rimal di Gaza City semalam. Israel meneruskan serangan selepas Hamas mengancam untuk membunuh 150 tebusan yang diculik mereka. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali membidas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan tidak telus dan terlalu mengikut telunjuk Israel.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Walid menyatakan PBB ‘sudah dibeli Israel’ apabila gagal bertindak membela nasib rakyat Palestin.

Walid Abu Ali

“PBB pandang Palestin de­ngan hanya sebelah mata berbanding Israel yang diagung-agungkan.

“Apa jua resolusi yang dicapai dalam PBB untuk kesejahteraan Palestin tidak berguna langsung kerana sampai sekarang Zionis tetap menindas kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas badan dunia itu mengecam tindakan Hamas menye­rang Israel pada 7 Oktober lalu, dengan menyifatkannya sebagai ‘keganasan’.

Kata Walid, sikap berat sebelah PBB terhadap Pa­lestin boleh dilihat apabila berterusan membiarkan Zionis menindas negara itu dan rakyatnya.

“Jika PBB benar-benar mahu bantu Palestin, tiadalah perang berlaku, tiadalah Israel bina banyak penempatan haram di tanah kami dan tiadalah penduduk ditembak setiap hari,” ujarnya.

Selain itu, Walid memaklumkan, sokongan moral daripada pelbagai negara dan pihak amat diperlukan oleh rakyat Palestin dalam menghadapi penindasan serta kekejaman Israel.

Namun, sokongan sahaja masih tidak cukup untuk membebaskan negara itu daripada penjajahan rejim Zionis dan ia perlu disertakan dengan tindakan praktikal.

SENJATA

“Saya beri contoh, jika Amerika Syarikat (AS) boleh bantu Ukraine dengan memberi bekalan senjata untuk melawan tentera Russia, me­ngapa pejuang di Palestin tidak diberikan peluang yang serupa?

“Negara-negara Islam menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga boleh hulurkan bantuan serupa kepada Palestin menentang Israel.

“Sokongan moral itu penting untuk naikkan semangat­, namun secara fizi­kalnya, kami hanya sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, beberapa pe­mimpin negara Arab seperti Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, Pre­siden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin.

Mereka juga menggesa supaya situasi dipulihkan bagi meredakan keganasan yang berlaku.
Mohammed menyatakan Arab Saudi akan terus berdiri bersama rakyat Palestin dan akan melakukan sebaik mungkin untuk mengembalikan semula ketenangan dan kestabilan kepa­da wilayah-wi­layah Palestin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN