Pas tidak boleh jadi parti membosankan - Sanusi  - Utusan Malaysia

Pas tidak boleh jadi parti membosankan – Sanusi 

Muhammad Sanusi berkata Pas kini fokus untuk tawan Perak atau Pahang selain perlu memastikan Pas parti tidak membosankan pada penggulungan di Muktamar Tahunan Pas kali ke-69 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selepas menguasai empat negeri, tumpuan Pas kini untuk menguasai sama ada Perak atau Pahang bagi mempertingkatkan  kerusi  Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, masih banyak lagi langkah-langkah politik harus diambil Pas dan antara  yang perlu diberi pertimbangan adalah politik tidak membosankan khususnya untuk menawan pengundi muda.

Menurut beliau, ini kerana pasaran pengundi muda yang tidak menjadi ahli mana-mana parti politik sama besarnya dengan jumlah individu yang sudah menyertai parti politik tertentu.

Katanya, pasaran tersebut perlu dikuasai Pas demi perjalanan masa depan politik parti kerana hampir 100 peratus pengundi tradisi di masjid, surau, sekolah agama dan kawasan kelahiran asatizah sudah habis dibolot parti tersebut.

“Pas perlu melangkah ke pagar sebelah, depan, belakang kiri dan kanan untuk menjadi medan baru. Kita mesti mempelbagaikan langkah-langkah politik dan tidak lagi terkurung dalam strategi tradisi Pas.

“Selain empat negeri, Pas mesti merangka untuk bergerak kehadapan ke tahap seterusnya iaitu menguasai sekurang-kurangnya satu negeri lagi sama ada Pahang atau Perak.

“Kalau Perak tak dapat kita pergi ke Pahang, kalau dapat dua-dua lagi bagus. Ia adalah untuk meningkatkan lagi jumlah kerusi Pas di Parlimen dan DUN,” katanya pada sesi penggulungan di Muktamar Tahunan Pas kali ke-69, di sini, hari ini.

Sehingga kini, Pas menguasai pentadbiran kerajaan negeri di Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Pada masa sama, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, sekali lagi mengulangi bahawa Pas yang kini adalah parti terbesar kerana memiliki kerusi Parlimen dan DUN terbanyak, sebagai ‘king maker’ dalam semua keputusan serta gerakan dalam politik Malaysia.

HALA TUJU

Beliau berkata, Pas kini menjadi pemain utama dalam menentukan hala tuju politik negara dan seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan mereka di bahu parti tersebut.

“Tak ada dah parti lain yang boleh diharap oleh rakyat Malaysia selain Pas untuk mencatur, menyusun perjalanan politik negara.

“Seluruh harapan rakyat Malaysia kini terletak di bahu Pas, (jadi) marilah kita sama-sama menjayakannya,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kepimpinan Pas di kawasan juga diingatkan supaya tidak bertelingkah termasuk dengan pergerakan pusat khidmat wakil rakyat dengan membuat penyesuaian semula supaya tidak bertembung sesama sendiri.

Katanya, wakil rakyat Pas tidak boleh ditinggalkan bersendirian dalam mengatur langkah, sebaliknya perlu bergerak bersama khususnya membabitkan kerja di lapangan.

“Paling penting adalah persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan setiap 10 tahun. Jika mereka (kerajaan pusat) ada dua pertiga majoriti di Parlimen, inilah masa untuk mereka mengadakan percaturan itu.

“Inilah yang perlu diambil berat dalam Pas supaya persempadanan kawasan pilihan raya akan datang tidak memberi kelebihan kepada parti lawan dan bagaimana untuk kita tentukan perkara ini berlaku dlm kawalan kita. 

“Mahu tak mahu kerajaan ini mesti ditumbangkan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya