SEREMBAN: Seramai 124 orang individu ditahan dalam serbuan menerusi Op Dadu Khas Judi Dalam Talian dan Loteri Awam Tanpa Lesen di beberapa lokasi di negeri ini dari 22 September hingga 2 Oktober lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 serbuan telah dilaksanakan bagi kesalahan judi dalam talian dengan tangkapan seramai 47 orang individu.
Menurutnya, bagi kesalahan tersebut, pihaknya telah merampas wang tunai berjumlah RM704 serta 46 buah telefon bimbit.
“Bagi kesalahan perjudian loteri awam tanpa lesen, sebanyak 76 serbuan telah dilaksanakan dengan tangkapan seramai 77 individu.
“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM9,129 serta 65 telefon bimbit,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ujar Ahmad Dzaffir, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 4a(a) dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-UTUSAN.