SEREMBAN: Negeri Sembilan dijangka mampu mencapai jumlah pelaburan berjumlah RM5 bilion pada tahun ini berdasarkan unjuran yang dilakukan Invest NS sehingga bulan September lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia juga menerusi beberapa projek yang telah ditempatkan di negeri ini dan yang sedang dalam proses rundingan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mendaftarkan pelaburan baharu di negeri ini.
“Sehingga suku kedua tahun ini, Negeri Sembilan telah berjaya memperoleh 89 projek diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.95 bilion direkodkan oleh MIDA.
“Bagaimanapun, berdasarkan unjuran Invest NS sehingga bulan September, Negeri Sembilan berkemungkinan mampu mencapai RM5 bilion jumlah pelaburan melalui beberapa projek yang telah ditempatkan di negeri ini dan kini sedang dalam rundingan MIDA bagi mendaftarkan pelaburan baharu,” katanya.
Menteri Besar berkata demikian sewaktu penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Menurut beliau, projek yang kini sedang dalam rundingan MIDA itu termasuk projek tenusu Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) di Gemas, Tampin yang berjumlah berjumlah RM1 bilion.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri memberitahu, kerajaan negeri akan memastikan penerokaan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini dijalankan secara terancang bagi mengelakkan sebarang isu termasuk pencemaran.
Katanya, satu prosedur standard operasi (SOP) berkaitan itu akan dikeluarkan di peringkat negeri dengan berpandukan SOP dikeluarkan di Peringkat Persekutuan yang sedia ada yang juga akan ditambah baik dan disesuaikan mengikut keperluan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai isu peruntukan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) khususnya yang dibangkitkan oleh ADUN pembangkang dan ia akan dibincangkan dan diputuskan dalam masa terdekat termasuk berkaitan pelantikan Timbalan Yang Dipertua DUN.
Sementara itu, persidangan hari ini turut meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan Tambahan Tahun 2023 iaitu mengeluarkan wang sebanyak RM8,960,000 daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri.
Aminuddin ketika membentangkan RUU itu memberitahu, terdapat keperluan untuk menyelaraskan semula keperluan Belanjawan Tahun 2023 dan peruntukan tambahan tersebut melibatkan pelbagai faktor seperti perubahan dasar polisi kerajaan, penumpuan kepada cadangan Ketua Audit Negara serta impak peningkatan kos sara hidup.
“Tambahan ini adalah untuk menampung kekurangan peruntukan akibat Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas, Bantuan Khas Kewangan (BKK) dan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri 2023 serta bayaran balik hutang kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.
Persidangan kemudian ditangguhkan ke tarikh 1 Disember 2023 iaitu bagi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15.










