PETALING JAYA: Semua negara Islam khususnya pengeluar sumber bahan api digesa memboikot atau menghentikan penjualan minyak dan gas kepada Israel sebagai satu bentuk tekanan agar negara itu menghentikan serangan terhadap rakyatPalestin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu hanya akan berlaku sekiranya semua negara Islam bersolidariti dengan mengetepikan perbezaan politik bagi mempertahankan Palestin.
“Peristiwa terkutuk membunuh orang awam, wanita, orang tua dan kanak-kanak itu layak jadi bandingan bagi negara-negara Islam supaya wajib bersekutu dan mengenepikan perbezaan politik masing-masing.
“Ia lantas mewujudkan solidariti dengan melaksanakan dasar boikot jualan minyak dan gas kepada Israel secara langsung atau tidak langsung,” katanya semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan serangan rejim Zionis di penempatan orang awam di Semenanjung Gaza semakin menggila dalam tempoh 48 jam lalu apabila tentera Israel juga menyasarkan kediaman berhampiran hospital.
Malah, lebih menyedihkan, bedilan roket dan bom dilancarkan Israel sejak awal bulan ini telah menyebabkan ribuan nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita terkorban.
Dalam pada itu, Rais menegaskan, kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) untuk bertindak menunjukkannya gagal menyekat kezaliman Israel dan seolah-olah menyebelahi kekejaman terancang oleh pihak Zionis.
Di samping itu, katanya, Zionis Israel semakin berani menggila dengan terus menyerang orang awam di Semenanjung Gaza akibat kegagalan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak dan tiada solidariti dalam kalangan negara Islam berhubung isu Palestin.
“Pembunuhan rakyat Palestin mesti meneguhkan lagi OIC yang selama ini lebih merupakan organisasi terpegun tanpa kebersamaan menentang Israel.
“Berpecahnya solidariti negara-negara Islam inilah yang menyebabkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu lebih mengganas terhadap Palestin dengan sasaran penaklukan negara itu,” katanya. – UTUSAN










