Misi struktur ATM angkatan masa hadapan

Misi struktur ATM angkatan masa hadapan

ANGGOTA Pasukan Khas Udara (PASKAU) TUDM melakukan demonstrasi menyelamatkan tebusan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan distruktur semula menepati ciri-ciri angkatan masa hadapan selaras kemajuan teknologi dan menepati harapan rakyat.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, penstukturan itu selaras dengan pelan strategi ketenteraan negara 2.0 yang dilancarkan baru-baru ini.

“Keupayaan ketiga-tiga perkhidmatan darat, laut dan udara akan dipertingkatkan secara holistik dan berpegang kepada tri­logi 3M iaitu manusia, mesin dan kaedah,” katanya berucap pada majlis sambutan Hari ATM Ke-90 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, semalam.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Menurut Mohammad, landskap keselamatan negara kini bergantung kepada persekitaran semasa termasuk ancaman tradisional serta siber.

Jelasnya, komponen terpenting bagi tonggak strategi pertahanan atau cegah rintang berpadu kini giat dilaksanakan dalam membina angkatan masa hadapan sebagai perisai negara yang berpaksi kepada postur bersepadu, tangkas dan berfokus.

Beliau berkata, pelbagai pelaksanaan projek untuk ATM dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang bermula pada 2021 telah memperlihatkan pencapaian sangat memuaskan dan dilaksanakan mengikut perancangan semasa.

“Sebagai contoh, projek pembangunan 1,563 unit rumah keluarga tentera untuk semua peringkat telah pun dilaksanakan dengan jangkaan siap awal tahun depan.

“Perolehan aset baharu untuk ketiga-tiga perkhidmatan juga sedang giat dilakukan sekali gus memperkukuh tahap kesiagaan pasukan itu dalam pertahanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, sambutan Hari ATM tahun ini buat julung kalinya diadakan di Jeti Operasi Markas Pemerintahan Armada Pangkalan TLDM Lumut.

Turut diadakan penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima ATM untuk ketiga-tiga perkhidmatan dengan setiap pemenang menerima piala pusingan serta wang tunai RM5,000.

Tahun ini, anugerah itu diberikan kepada Pasukan 21 Gerup Ge­rak Khas (GGK) bagi perkhidmatan darat, Angkatan Kapal Selam (laut) dan Pangkalan Udara Kuantan (udara). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN